Teknik Nabi Muhammad Mengubah Tingkah Laku 2 Orang 'Mat Romeo'

Pada suatu hari, ada seorang pemuda datang berjumpa dengan Nabi Muhammad. Dia berkata, “Saya telah bercumbu-cumbu dengan seorang perempuan dari pinggir kota. Saya sudah lakukan semuanya, kecuali bersetubuh dengannya. Sekarang saya datang ke hadapan tuan, maka hukumlah saya sebagaimana yang tuan mahukan.” Saidina Umar memarahi pemuda itu, katanya, “Allah menutupi kesalahan kamu jikalau kamu menutupi diri kamu sendiri!” Mendengar kata-kata Saidina Umar itu, Nabi Muhammad tidak bercakap apa-apa. Kemudian pemuda itu pergi. Nabi Muhammad segera menyuruh orang memanggil pemuda itu supaya datang semula. Kemudian beliau membacakan kepadanya ayat ini: “Dan dirikanlah sembahyang itu pada pagi dan petang, dan pada bahagian permulaan malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan dosa perbuatan-perbuatan buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat.” Kemudian, ada seorang lelaki lain yang ada di situ bertanya, “Wahai Rasul Allah, apakah ayat itu ditujukan khusus untuk dia seorang sahaja, ataupun ayat itu ditujukan untuk semua orang?” Nabi Muhammad menjawab, “Untuk semua orang.” - Hadith ini dipetik dari koleksi hadith-hadith autentik yang direkodkan oleh Abu Daud.

1. Peristiwa dalam hadith ini melibatkan seorang pemuda yang melakukan kesalahan berat. Akhlak pemuda itu buruk, dan dia sendiri mengaku. Katanya,
“Saya telah bercumbu-cumbu dengan seorang perempuan dari pinggir kota. Saya sudah lakukan semuanya, kecuali bersetubuh dengannya."

2. Peristiwa dalam hadith ini berlaku di hadapan banyak orang, bukan hanya di hadapan Nabi Muhammad seorang sahaja. Ini bermakna pemuda itu mendedahkan rahsianya di hadapan banyak orang. Dalam kes ini pemuda itu melakukan 2 kesalahan. Kesalahan pertama, dia bercumbu-cumbu dengan perempuan yang bukan isterinya. Kesalahan kedua dia mendedahkan rahsianya itu kepada orang lain.

3. Apabila mendengar pengakuan pemuda itu, Umar al-Khattab menegur dan memarahi pemuda itu. Katanya:
“Allah menutupi kesalahan kamu jikalau kamu menutupi diri kamu sendiri!” Ini kerana dalam Islam seseorang itu tidak diizinkan mendedahkan rahsia buruk dirinya kepada orang lain. Ertinya pemuda itu melakukan kesalahan apabila dia mendedahkan rahsianya itu.

4. Apa yang dilakukan oleh Umar itu adalah amalan lazim. Kita cenderung menegur dan memarahi orang yang melakukan kesalahan.

5. Apabila Umar memarahinya, si pemuda itu bangun lalu pergi dari situ. Ini adalah reaksi lazim orang yang ditegur, di mana dia akan pergi dan menjauhkan diri dari si penegur.

6. Nabi Muhammad tahu Umar tidak boleh menegur dan memarahi pemuda itu, tetapi beliau tidak menegur kesalahan Umar itu. Nabi Muhammad diam sahaja. Di sini kita lihat perbezaan antara Umar dan Nabi Muhammad. Umar menegur pemuda itu kerana melakukan kesalahan. Perbuatan Umar itu sendiri salah, tetapi Nabi Muhammad tidak menegur Umar.

7. Kata-kata yang ucapkan oleh Umar itu betul:
“Allah menutupi kesalahan kamu jikalau kamu menutupi diri kamu sendiri!” Tetapi kata-kata itu diucapkan pada masa dan tempat yang salah. Akibatnya pemuda itu pergi.

8. Nabi Muhammad tidak menegur kesalahan pemuda itu. Nabi Muhammad juga tidak menegur kesalahan Umar.

9. Nabi Muhammad juga tidak bertanya sebarang soalan kepada pemuda itu bagi mengetahui punca-punca mengapa dia melakukan kesalahannya.

10. Dalam kes pemuda itu, ada dua orang yang bersalah, yakni pemuda itu dan perempuan yang menjadi pasangannya, kedua-duanya bersalah kerana bercumbu-cumbu di luar nikah. Namun Nabi Muhammad tidak menyiasat siapa identiti perempuan yang dicumbui oleh pemuda itu.

11. Nabi Muhammad tidak menyuruh supaya perempuan itu juga dibawa ke hadapannya.

12. Nabi Muhammad juga tidak mengkritik sikap pemuda itu
kerana telah mencemarkan kesucian perempuan yang dicumbuinya. Beliau juga tidak menasihati pemuda itu supaya meningkatkan imannya. Malah beliau tidak memuji pemuda itu kerana sudah insaf akan kesalahannya.

13. Meskipun pemuda itu meminta supaya dirinya dihukum, Nabi Muhammad tidak menghukum pemuda itu. Ini kerana kesalahan bercumbu-cumbu memang tiada hukumannya di dunia ini. Hukumannya adalah di akhirat sahaja.

14. Bagi membantu pemuda itu menyelesaikan masalahnya, Nabi Muhammad membacakan ayat dari al-Quran:
“Dan dirikanlah sembahyang itu pada pagi dan petang, dan pada bahagian permulaan malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan dosa perbuatan-perbuatan buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat.”

15. Kemudian ada seorang lelaki lain yang ada di situ bertanya:
“Wahai Rasul Allah, apakah ayat itu ditujukan khusus untuk dia seorang sahaja, ataupun ayat itu ditujukan untuk semua orang?” Lelaki kedua itu mungkin bertanya begitu disebabkan dia juga telah melakukan kesalahan yang sama seperti pemuda tersebut.

16. Nabi Muhammad menjawab pertanyaan lelaki kedua itu:
“Untuk semua orang.”
Beliau tidak menyiasat mengapa lelaki itu bertanya begitu. Beliau tidak berkata, "Mengapa kamu bertanya begitu. Adakah kamu juga melakukan kesalahan yang sama?"

NOTA:
Daripada analisis hadith ini kita dapat tarik prinsip penting yang digunakan oleh Nabi Muhammad apabila mendorong perubahan tingkah laku akhlak yang buruk di kalangan golongan muda, iaitu tidak boleh mengutuk orang muda yang melakukan kesalahan. Sebaliknya, cara yang betul adalah dengan terangkan sahaja kepada mereka cara-cara membersihkan diri daripada kesan-kesan perbuatan yang salah. Cara itu pula adalah cara yang diterangkan dalam al-Quran.


.

Tiada ulasan: