Salah seorang sahabat Nabi Muhammad bernama Abu Hurairah. Dia melaporkan bahawa Nabi Muhammad pernah lalu di hadapan orang yang menjual selonggok makanan. Beliau memasukkan tangannya ke dalam longgokan makanan itu, lalu tangan beliau terkena pada makanan basah di dalamnya. Nabi Muhammad bertanya kepada orang itu, "Apakah ini, wahai penjual makanan?" Orang itu menjawab, "Ia ditimpa hujan dari langit, wahai Rasulullah." Beliau berkata, "Tidakkah saudara letakkannya di atas, supaya diketahui oleh orang yang akan membelinya? Sesiapa yang menipu, dia bukan daripada golonganku." -- Hadith nombor 947 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim
1. Pada peristiwa di atas, Nabi Muhammad melakukan 'spot check' di pasar. Beliau telah berjumpa dengan kes di mana seorang penjual makanan yang meletakkan makanan yang basah oleh air hujan di bahagian bawah sehingga tidak dapat dilihat oleh pembeli. Perbuatan itu adalah suatu kesalahan dalam perniagaan.
2. Salah satu ciri bahasa Nabi Muhammad adalah, beliau tidak menggunakan perkataan 'mengapa' ataupuan 'kenapa' apabila berkomunikasi dengan individu-individu yang melakukan kesalahan. Pada peristiwa di atas, Nabi Muhammad bertanya tetapi beliau tidak menggunakan perkataan 'mengapakah'. Sebaliknya beliau menggunakan perkataan 'apakah'. ("Apakah ini, wahai penjual makanan?")
3. Apabila sudah jelas peniaga itu melakukan kesalahan, Nabi Muhammad memarahi penjual makanan itu tetapi beliau tidak menggunakan perkataan 'mengapakah'. Sebaliknya beliau menggunakan perkataan 'tidakkah'. ("Tidakkah saudara letakkan di atas, supaya diketahui oleh orang yang akan membelinya? Sesiapa yang menipu, dia bukan daripada golonganku.")
4. Meskipun Nabi Muhammad bercakap kepada orang yang sudah terbukti melakukan kesalahan, beliau tidak menyiasat punca-punca yang mendorong si pesalah melakukan kasalahannya. Beliau tidak bertanya: "Mengapa itu, mengapa ini....."
5. Nabi Muhammad mendorong peniaga itu supaya mengubah tingkah lakunya yang buruk itu, beliau menggunakan ayat ancaman: "Sesiapa yang menipu, dia bukan daripada golonganku." Ayat ancaman yang digunakan oleh Nabi Muhammad itu mempunyai ciri-ciri:
a. Ayat ancaman itu tidak ditujukan khusus kepada peniaga yang melakukan kesalahan itu, sebaliknya ayat itu ditujukan kepada semua orang. ("Sesiapa yang menipu, dia bukan daripada golonganku.")
b. Ayat ancaman yang digunakan oleh Nabi Muhammad itu bukan ayat tuduhan. Nabi Muhammad hanya menerangkan sahaja status orang yang menipu. Ayat "Sesiapa yang menipu, dia bukan daripada golonganku." adalah ayat keterangan suatu hukum.
c. Ayat tuduhan adalah seperti:
* "Kamu penipu."
* "Kamu tahu, bukan, apa hukumnya apabila kamu menipu?"
* "Kenapa kamu menipu?"
6. Nabi Muhammad tidak memarahi peniaga itu menggunakan ayat-ayat marah-marah seperti:
* "Cis! Penipu!"
* "Takkan kamu tidak tahu duit dari penipuan itu hukumnya haram."
* "Apa punya peniaga. Tak bolehkah kamu berniaga secara Islamik?"
* "Kamu ini sudah masuk Islam, tapi masih menipu!"
.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan