Contoh bab dalam buku yang sedang ditulis....
BAB 1 Soalan Akhlak Supaya Semua Pelajar Corot Dapat Angkat Tangan
Hadith 'Abu Bakar Masuk Syurga'
Abu Hurairah melaporkan bahawa pada suatu masa Nabi Muhammad
pernah bertanya: “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang berpuasa
pada hari ini?” Abu Bakar menjawab, “Saya.” Beliau bertanya lagi:
“Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang hari ini menghantar
jenazah?” Abu Bakar menjawab, “Saya.” Beliau bertanya lagi: “Siapakah
antara saudara-saudara sekalian yang hari ini memberi orang miskin
makan?” Abu Bakar menjawab, “Saya.” Beliau bertanya lagi: “Siapakah
antara saudara-saudara sekalian yang hari ini melawat orang sakit?” Abu
Bakar menjawab, “Saya.” Lalu Nabi Muhammad berkata: “Seseorang yang
melakukan perkara-perkara tersebut sudah tentu masuk syurga.” -- Hadith No. 543 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim
Pengenalan
Pelajar-pelajar di dalam kelas corot percaya mereka bukan pelajar pintar disebabkan faktor-faktor berikut:
1. Mereka ditempatkan di dalam kelas yang dikhususkan untuk pelajar corot.
2. Mereka dilayan oleh guru-guru sebagai pelajar tidak pintar, ini
kerana tingkah laku guru berbeza apabila mereka melayan di dalam kelas
pelajar pintar.
3. Mereka mendapat markah rendah di dalam buku-buku latihan.
4. Mereka gagal dalam ujian dan peperiksaan.
5. Apabila guru menyoal, mereka tidak berani angkat tangan.
Disebabkan mereka yakin mereka bukan pelajar pintar, akibatnya
self-esteem mereka sangat rendah. Guru dapat menaikkan self-esteem
pelajar dengan memberi peluang mereka semua angkat tangan dan seronok
hendak menjawab pertanyaan guru. Cara menaikkan self-esteem pelajar
adalah dengan bertanyakan soalan-soalan yang sudah tentu mereka dapat
jawab dengan rasa bangga.
Salah satu jenis soalan yang Nabi Muhammad tanyakan kepada mereka
yang ada bersama-sama beliau adalah soalan akhlak. Contoh soalan akhlak
yang beliau pernah tanyakan adalah:
1. “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang berpuasa pada hari ini?”
2. “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang hari ini menghantar jenazah?”
3. “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang hari ini memberi orang miskin makan?”
4. “Siapakah antara saudara-saudara sekalian yang hari ini melawat orang sakit?”
Pada hujung sesi soal-jawab itu Nabi Muhammad berkata: "Seseorang yang melakukan perkara-perkara tersebut sudah tentu masuk syurga."
Dengan menggunakan soalan akhlak pelajar berasa seronok dan suka mahu belajar. Apabila mereka suka belajar, nanti secara perlahan-lahan mereka akan menjadi 'budak pintar'.
.
1 ulasan:
singgah...
Catat Ulasan