Sebagai Kaunselor: Lagi Bukti bahawa Nabi Muhammad Tidak Menyelidiki Punca Kesalahan

Perceraian adalah perkara yang dibenarkan dalam agama tetapi dibenci oleh Allah. Manakala perceraian talak tiga adalah kes yang ekstrem, oleh itu jarang berlaku. Dari satu segi perbuatan menjatuhkan talak tiga bolehlah dikatakan sebagai 'kesalahan' yang tidak sepatutnya berlaku.

Dalam catatan sejarah ada disebutkan peristiwa Nabi Muhammad berdepan dengan seorang perempuan yang telah diceraikan dengan talak tiga. Beliau sama sekali tidak bertanyakan kepada perempuan itu maklumat latar belakang apa yang telah berlaku sehingga suaminya menjatuhkan talak tiga kepadanya.

Nabi Muhammad tidak bertanya kepada janda itu apa kesalahannya, jika ada, sehingga dirinya diceraikan dengan talak tiga. Beliau juga tidak bertanya apa kesalahan suaminya, jika ada, sehingga dia melakukan perkara yang ekstrem itu.

Sebaliknya, Nabi Muhammad terus menawarkan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi oleh janda itu. Masalah itu adalah masalah yang berat kerana sebagai perempuan yang dicerai dengan talak tiga dia
tidak berhak menerima tempat tinggal dan belanja hidup dari bekas suaminya itu.

Fatimah binti Qais melaporkan bahawa dirinya pernah dicerai dengan talak tiga oleh bekas suaminya. Nabi Muhammad menerangkan kepadanya bahawa dia tidak berhak menerima tempat tinggal dan belanja hidup dari bekas suaminya itu. Nabi Muhammad berkata kepadanya, “Apabila saudari sudah tamat tempoh iddah, beritahu saya.” Lalu apabila tempoh iddahnya sudah tamat, dia pun memaklumkan perkara itu kepada Nabi Muhammad. Kemudian daripada itu ada tiga lelaki meminang dirinya, iaitu Muawiyah, Abu Jaham, dan Usamah bin Zaid. Nabi Muhammad berkata kepadanya, “Muawiyah itu miskin, sedangkan Abu Jaham suka memukul isterinya, sebaiknya saudari terima Usamah sahaja.” Hati Fatimah tidak setuju dengan nasihat Nabi Muhammad. Sambil dia memulas-mulas tangannya, dia berkata, “Usamah?” Kemudian Nabi Muhammad berkata, “Taat kepada Allah dan Rasulnya adalah lebih baik bagi saudari.” Lalu Fatimah pun bernikah dengan Usamah. Menurutnya, selepas itu dia mengecapi kebahagiaan dalam perkahwinannya dengan Usamah. --
Hadith No. 862 dalam kitab Ringkasan Sohih Muslim


Tiada ulasan: