Nabi Muhammad adalah seorang pendorong perubahan tingkah laku yang sangat berkesan. dengan mengucapkan sedikit kata-kata sahaja, beliau dapat mengubah tingkah laku orang.
Dalam amalan lazim, orang-orang bisnes dalam industri maksiat adalah golongan yang paling sukar didorong supaya mengubah tingkah laku mereka, apatah lagi jika mereka didorong supaya memberhentikan bisnes maksiat mereka itu.
Namun dalam peristiwa di bawah, Nabi Muhammad dapat mengubah tingkah laku dua orang pedagang arak dengan hanya mengucapkan beberapa patah perkataan.
Ibnu Abbas melaporkan, pada suatu hari ada seorang lelaki datang dan menghadiahkan kepada Nabi Muhammad sebekas arak. Nabi Muhammad bertanya kepada lelaki itu, “Adakah saudara tahu bahawa Allah sudah mengharamkannya?” Lelaki itu menjawab, “Tidak.” Kemudian lelaki itu berbisik-bisik dengan orang yang di tepinya. Nabi Muhammad bertanya kepada lelaki itu, “Apakah yang saudara bisikkan kepadanya?” Lelaki itu menjawab, “Saya suruh dia menjualkannya sahaja.” Kemudian Nabi Muhammad berkata, "Sesungguhnya Dia yang mengharamkan meminumnya, Dia mengharamkan menjualnya." Kemudian lelaki itu membuka penutup bekas araknya, lalu dituangkan isinya sampai habis sama sekali. -- Hadith No. 930 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim
Dalam peristiwa di atas, Nabi Muhammad tidak mengucapkan kata-kata yang menjatuhkan maruah dua orang peniaga arak itu.
Beliau juga tidak menerangkan dengan panjang lebar mengapa arak diharamkan.
Nota: Ada suatu aspek dalam bahasa yang Nabi Muhammad gunakan semasa bercakap dengan pedagang arak itu di mana beliau merujuk Allah dengan menggunakan kata gantinama 'Dia'.
1 ulasan:
Allahumma Solli Ala Muhammad.
Catat Ulasan