Nabi Muhammad Tidak Menyuruh Pesalah Membetulkan Kesalahannya

Dalam rekod sejarah, terdapat banyak catatan yang menunjukkan teknik-teknik Nabi Muhammad mendorong orang yang melakukan kesalahan supaya berhenti melakukan kesalahannya.

Di bawah ini adalah catatan bagaimana Nabi Muhammad mendorong seorang yang melakukan kesalahan kencing di dalam masjid supaya tidak mengulangi kesalahannya.

Anas bin Malek melaporkan, pada suatu masa dia dan orang-orang lelaki lain sedang berada di dalam masjid bersama-sama Nabi Muhammad. Tiba-tiba masuklah seorang lelaki Arab dari kampung ke dalam masjid, lalu lelaki itu berdiri dan membuang air kecil. Melihat kejadian itu, sahabat-sahabat Nabi yang ada di situ terus mengherdik lelaki tersebut. Sebaliknya, Nabi Muhammad berkata, “Jangan buat dia terhenti kencingnya. Biarkan sahaja.” Lalu semua yang ada membiarkan sahaja orang kampung itu menghabiskan kencingnya. Selepas itu Nabi Muhammad memanggil lelaki itu dan berkata kepadanya, “Sesungguhnya, di dalam masjid ini tidak boleh kencing ataupun membuang sedikit pun kotoran, sebaliknya hanya boleh berzikir mengingati Allah Azza wajalla, bersembahyang, dan membaca Quran.” Kemudian, Nabi Muhammad menyuruh salah seorang yang ada pergi mengambil air setimba, lalu disirami kecing itu. -
Hadith No. 186 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim

Lazimnya, kita arahkan orang yang melakukan kesalahan supaya dia sendiri yang membetulkan kesalahannya, yakni siapa yang buat salah dialah yang mesti membetulkan kesalahannya.

Dalam peristiwa di atas, kesalahan yang dilakukan oleh si pesalah adalah kesalahan yang serius sebab ia dilakukan di dalam masjid. Tetapi, Nabi Muhammad tidak menyuruh supaya orang yang melakukan kesalahan itu dia juga yang membetulkan kesalahannya.

Perbuatan kencing itu tidak salah, yang salah adalah tempat di mana dia kencing. Dalam kes ini orang lain yang kecing, orang lain yang disuruh oleh Nabi Muhammad supaya pergi mengambil air dan membasuh kencing orang itu.


Tiada ulasan: