Satu Orang yang Dipuji, Semua Orang dalam Dalam Kumpulan Ikut Termotivasi

Dalam amalan lazim, ketua-ketua khuatir mahu memuji seseorang secara terbuka di hadapan orang-orang lain disebabkan hal itu boleh menyebabkan timbulnya kesan-kesan sampingan yang negatif. Disebabkan kekhuatiran itu banyak ketua memberikan pujian kepada anak-anak buahnya secara sembunyi-sembunyi.

Memang perbuatan ketua memuji seseorang anak buah secara terbuka di hadapan rakan-rakan sekerja boleh mencipta risiko kesan sampingan negatif. Antara risiko itu adalah:

a. Orang yang dipuji itu menjadi perasan dan timbul perasaan riak dalam dirinya.

b. Orang-orang lain yang tidak dipuji berasa cemburu dan iri hati.

c. Hanya orang yang dipuji mengalami peningkatan motivasi, manakala yang orang-orang lain hilang motivasi.

Dalam catatan sejarah di bawah ini, Nabi Muhammad memberi pujian kepada satu orang, hasilnya orang lain yang mendengar pujian itu ikut melakukan perbuatan yang dipuji itu.

Salah seorang sahabat Nabi Muhammad bernama Ibnu Umar. Dalam laporannya,
Ibnu Umar menceritakan, pada suatu masa beliau dan orang-orang lain sedang hendak melakukan sembahyang di masjid. Pada waktu itu kedengaran seorang lelaki berkata, "Allahu akbar kabiran, alhamdulillahi kathiran, wasubhanallahi bukratan wa'asila." Selepas selesai sembahyang, Nabi Muhammad bertanya kepada orang-orang yang ada, "Siapakah tadi yang membaca ucapan itu?" Lelaki itu menjawab, "Saya, ya Rasul Allah." Lalu Nabi Muhammad berkata, "Saya kagum dengan kata-kata itu. Pintu-pintu langit dibuka kerana kata-kata itu." Dalam laporannya itu, Ibnu Umar berkata, "Semenjak saya terdengar Nabi Muhammad berkata begitu, saya tidak pernah lupa mengucapkan kata-kata itu." - Catatan peristiwa ini ada dalam rekod koleksi hadith-hadith autentik Muslim

Dalam peristiwa di atas, Ibnu Umar mengaku bahawa semenjak dia mendengar pujian yang diberikan oleh Nabi Muhammad kepada lelaki itu dia ikut mengucapkan kata-kata yang diucapkan oleh lelaki tersebut.

Apabila Nabi Muhammad memberi pujian kepada satu orang anak buahnya, beliau tidak mencipta kesan-kesan negatif ke atas motivasi anak-anak buahnya yang lain yang kebetulan menyaksikan peristiwa itu. Ini adalah disebabkan teknik yang beliau gunakan bagi menyampaikan pujiannya itu adalah betul, yakni beliau memuji hasil kerja orang itu, beliau tidak memuji diri orang itu.


Tiada ulasan: