Nabi Muhammad adalah seorang yang sangat menjaga nama baik perempuan. Dalam suatu peristiwa, sepasang remaja lelaki dan perempuan telah melakukan dosa berat, yakni bercumbu-cumbu. Kemudian pemuda itu telah datang berjumpa Nabi Muhammad dan mengakui kesalahannya. Namun Nabi Muhammad langsung tidak bertanya siapa perempuan yang menjadi pasangannya itu.
Pada suatu hari, ada seorang lelaki datang berjumpa dengan Nabi Muhammad. Dia berkata, “Saya telah bercumbu-cumbu dengan seorang perempuan dari pinggir kota. Saya sudah buat semuanya, kecuali bersetubuh dengannya. Sekarang saya datang ke hadapan paduka tuan, maka hukumlah saya sebagaimana yang paduka tuan mahu.” Saidina Umar memarahi lelaki itu, katanya, “Allah menutupi kesalahan kamu jikalau kamu menutupi diri kamu sendiri!” Mendengar kata-kata saidina Umar itu, Nabi Muhammad tidak bercakap apa-apa. Kemudian lelaki itu pergi. Nabi Muhammad segera menyuruh orang memanggil lelaki itu supaya datang semula. Kemudian beliau membacakan kepada lelaki itu ayat ini: “Dan dirikanlah sembahyang itu pada pagi dan petang, dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan dosa daripada perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat.” Kemudian, ada seorang lelaki lain yang ada di situ bertanya, “Wahai Rasul Allah, apakah ayat itu ditujukan khusus untuk dia seorang sahaja, ataupun ayat itu ditujukan untuk semua orang?” Nabi Muhammad menjawab, “Untuk semua orang.” - (Hadith ini direkodkan oleh Abu Daud)
Dalam peristiwa di atas, meskipun pemuda itu telah mengaku bahawa dia pernah melakukan dosa yang berat dengan seorang perempuan, tetapi Nabi Muhammad tidak menyuruh supaya dia memberitahu siapa perempuan itu dengan bertanya:
* "Siapa nama perempuan itu?"
* "Dia anak siapa?"
* "Di mana rumahnya?"
* "Adakah dia anak dara, janda ataupun isteri orang?"
Sampai hari ini tidak ada sesiapa yang tahu siapa perempuan yang menjadi pasangan bercumbu pemuda tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan