Teknik Nabi Muhammad Mendorong Inisiatif dan Kreativiti

Dalam rekod sejarah, ada dua catatan yang menunjukkan teknik bagaimana Nabi Muhammad mendorong kreativiti. Dalam kedua-dua catatan itu, berlaku peristiwa di mana ada dua orang yang telah mengambil inisiatif mencipta sesuatu yang baru. Mereka telah mencipta ayat zikir karangan mereka sendiri, yakni Nabi Muhammad tidak pernah mengajarkan kata-kata zikir tersebut. Apabila Nabi Muhammad terdengar ayat-ayat zikir yang mereka cipta itu beliau telah memuji keistimewaan zikir itu.

Dalam catatan pertama, ada lelaki yang mencipta ayat zikir
"Allahu akbar kabiran, alhamdulillahi kathiran, wasubhanallahi bukratan wa'asila."

Dalam catatan kedua, seorang lelaki lain mencipta ayat zikir "Alhamdulillahi hamdan kasiran thoyiban mubarakan fih."

1.
Ibnu Umar adalah salah seorang sahabat baik Nabi Muhammad. Dalam laporannya, Ibnu Umar menceritakan, pada suatu masa beliau dan orang-orang lain sedang hendak melakukan sembahyang di masjid. Pada waktu itu kedengaran seorang lelaki berkata, "Allahu akbar kabiran, alhamdulillahi kathiran, wasubhanallahi bukratan wa'asila." Selepas selesai sembahyang, Nabi Muhammad bertanya kepada orang-orang yang ada, "Siapakah tadi yang membaca ucapan itu?" Lelaki itu menjawab, "Saya, ya Rasul Allah." Lalu Nabi Muhammad berkata, "Saya kagum dengan kata-kata itu. Pintu-pintu langit dibuka kerana kata-kata itu." Dalam laporannya itu, Ibnu Umar berkata, "Semenjak saya terdengar Nabi Muhammad berkata begitu, saya tidak pernah lupa mengucapkan kata-kata itu." - Catatan peristiwa ini ada dalam rekod koleksi hadith-hadith autentik Muslim

2. Salah seoranh sahabat Nabi Muhammad adalah Anas. Beliau melaporkan, pada suatu hari ada seorang lelaki datang dan dia terus masuk barisan orang-orang yang sedang sembahyang, dengan nafasnya termengah-mengah kerana terkocoh-kocoh mengejar waktu sembahyang, sambil dia membaca dengan kuat 'Alhamdulillahi hamdan kasiran thoyiban mubarakan fih.' (Segala puji bagi Allah, pujian yang banyak, bagus, lagi penuh berkat.) Selepas selesai sembahyang, Nabi Muhammad bertanya, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata itu?” Semua orang yang ada diam sahaja, tidak seorang pun menjawab. Nabi Muhammad bertanya lagi, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata itu? Sebenarnya dia tidak mengucapkan sesuatu yang berdosa.” Lalu seorang lelaki berkata, “Tadi saya datang dengan termengah-mengah, lalu saya ucapkan kata-kata itu.” Kemudian, Nabi Muhammad berkata, “Sungguh, saya nampak 12 orang malaikat berebut-rebut mengangkat kata-kata itu.” -- Hadith No. 271 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim

Dua hadith di atas adalah contoh dalam kepimpinan gaya Nabi Muhammad, yang menunjukkan prinsip-prinsip yang beliau gunakan apabila mendorong inisiatif dan kreativiti:

1. Apabila anak buahnya melakukan kerja yang tidak disuruh, Nabi Muhammad memberikan pujian ke atas hasil kerja anak-anak buahnya itu.

*
"Saya kagum dengan kata-kata itu. Pintu-pintu langit dibuka kerana kata-kata itu." (Nabi Muhammad memuji hasil kerja)

* “Sungguh, saya nampak 12 orang malaikat berebut-rebut mengangkat kata-kata itu.” (Nabi Muhammad memuji hasil kerja)

2. Apabila Nabi Muhammad memuji, perkara yang dipuji adalah hasil kerja orang itu, bukan diri orang itu.

3. Apabila kerja itu dilakukan secara terbuka, maka pujian juga diberikan secara terbuka.

4. Pujian diberikan dengan segera, yakni Nabi Muhammad tidak menangguhkan pujian sehingga suatu masa lain.

5. Di mana hasil kerja itu dilakukan, di situlah juga pujian itu diberikan, tidak di tempat lain.


Tiada ulasan: