Dalam dunia idea, kita sentiasa berdepan dengan idea-idea yang banyak dan pelbagai, masing-masing dengan kelebihan dan kekurangannya, sehingga menyukarkan proses membuat pilihan yang tepat.
Apabila berdepan dengan situasi kepelbagaian idea, Nabi Muhammad memilih idea yang original.
Sesuatu idea itu dikatakan original apabila idea itu benar-benar baru, yakni belum ada sebelumnya. Jika sesuatu idea itu adalah idea lama yang sudah diperbaiki sahaja maka itu bukan idea original.
Seorang sahabat Nabi Muhammad yang bernama Abdullah bin Umar melaporkan, semasa orang-orang Islam dari Mekah baru tiba di Madinah, mereka semua berkumpul sementara menunggu masuknya waktu sembahyang. Pada masa itu belum ada apa-apa cara memanggil orang supaya bersembahyang. Disebabkan keadaan itu, pada suatu hari mereka berbincang berkenaan perkara tersebut. Ada antara mereka yang berkata, “Gunakan loceng macam orang-orang Kristian.” Ada pula yang berkata, “Gunakan trompet daripada tanduk, macam orang-orang Yahudi.” Lalu Umar berkata, “Bagaimana kalau saudara-saudara suruh seorang lelaki supaya melaungkan panggilan sembahyang?” Nabi Muhammad pun berkata, “Wahai Bilal, berdirilah, dan laungkan panggilan sembahyang.” -- Hadith No. 190 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim
Dalam peristiwa di atas Nabi Muhammad tidak memilih idea-idea yang dipinjam daripada pihak pesaing ataupun musuh.
Azan adalah idea original kerana sebelumnya idea itu tidak pernah ada. Azan juga bukan hasil pembaikan idea yang sudah sedia ada, yakni azan bukan hasil pembaikan pada idea loceng ataupun idea trompet tanduk.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan