Salah satu tugas ketua adalah mendorong anak-anak buahnya mengemukakan idea dan cadangan. Pada masa ini salah istilah dan konsep yang popular dalam pengurusan organisasi adalah brainstorming. Aktiviti brainstorming sudah menjadi prosedur rutin apabila pengurusan perlu mencari idea-idea baru.
Dalam rekod sejarah hidup Nabi Muhammad, ada dicatatkan suatu peristiwa di mana Nabi Muhammad mengendalikan sesi mencari idea, dan sesi itu seakan-akan sesi brainstorming:
Seorang sahabat Nabi Muhammad yang bernama Abdullah bin Umar melaporkan, semasa orang-orang Islam dari Mekah baru tiba di Madinah, mereka semua berkumpul sementara menunggu masuknya waktu sembahyang. Pada masa itu belum ada apa-apa cara memanggil orang supaya bersembahyang. Disebabkan keadaan yang masih begitu, pada suatu hari mereka berbincang berkenaan perkara tersebut. Ada antara mereka yang berkata, “Gunakan loceng macam orang-orang Kristian.” Ada pula yang berkata, “Gunakan trompet daripada tanduk, macam orang-orang Yahudi.” Lalu Umar berkata, “Bagaimana kalau saudara-saudara suruh seorang lelaki supaya melaungkan panggilan sembahyang?” Nabi Muhammad pun berkata, “Wahai Bilal, berdirilah, dan laungkan panggilan sembahyang.” -- Hadith No. 190 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim.
Dalam peristiwa di atas, apabila ada anggota kumpulan mengemukakan cadangan, tidak ada sesiapa pun yang mengulas cadangan itu, sama ada ulasan positif mahupun ulasan negatif, padahal sangat jelas bahawa cadangan menggunakan loceng dan tanduk itu bukan idea baru, malah idea yang diamalkan oleh agama-agama lain. Namun Nabi Muhammad dan semua sahabat beliau yang hadir bersikap senyap, langsung tidak mengkritik idea loceng dan tanduk itu.
Tingkah laku tidak mengulas ataupun mengkomen idea dan cadangan adalah serupa dengan prosedur brainstorming yang diamalkan pada masa ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan