Dalam dunia kerja, salah satu faktor yang menaikkan semangat kerja staf adalah apabila keputusan-keputusan mesyuarat dilaksanakan dengan cepat dan cekap.
Ketua-ketua yang cepat melaksanakan keputusan mesyuarat dipersepsi sebagai ketua yang berwibawa dan bagus, manakala ketua yang lambat melaksanakan keputusan dipersepsi sebagai ketua yang lembap dan lemah.
Seorang sahabat Nabi Muhammad yang bernama Abdullah bin Umar melaporkan, semasa orang-orang Islam dari Mekah baru tiba di Madinah, mereka semua berkumpul sementara menunggu masuknya waktu sembahyang. Pada masa itu belum ada apa-apa cara memanggil orang supaya bersembahyang. Disebabkan keadaan itu, pada suatu hari mereka berbincang berkenaan perkara tersebut. Ada antara mereka yang berkata, “Gunakan loceng macam orang-orang Kristian.” Ada pula yang berkata, “Gunakan trompet daripada tanduk, macam orang-orang Yahudi.” Lalu Umar berkata, “Bagaimana kalau saudara-saudara suruh seorang lelaki supaya melaungkan panggilan sembahyang?” Nabi Muhammad pun berkata, “Wahai Bilal, berdirilah, dan laungkan panggilan sembahyang.” -- Hadith No. 190 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim.
Dalam peristiwa di atas, Nabi Muhammad terus melaksanakan idea kreatif yang sudah dinilai dan diterima olehnya. Beliau tidak melengah-lengahkan pelaksanaan idea itu.
Pelaksanaan idea yang dilakukan dengan cepat dan cekap menjadi pendorong kepada anak buah menghasilkan banyak cadangan dan idea-idea kreatif, begitu juga sebaliknya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan