Kreativiti: Strategi Kerja Bagaimana Nabi Muhammad Menyelesaikan Masalah Kreatif

Salah satu tugas ketua adalah menyelesaikan masalah. Ada masalah yang memerlukan penyelesaian secara logikal, manakala ada masalah yang memerlukan penyelesaian secara kreatif. Dua jenis masalah yang memerlukan penyelesaian kreatif adalah:

1. Masalah-masalah lama yang memerlukan penyelesaian menggunakan cara-cara baru kerana cara lama sudah tidak efektif lagi.

2. Masalah-masalah baru yang belum pernah berlaku sebelumnya, jadi sudah pasti penyelesaiannya belum wujud.

Apabila Nabi Muhammad menghadapi situasi yang memerlukan penyelesaian kreatif, beliau menggalakkan anak-anak buahnya berfikir secara kreatif.

Seorang sahabat Nabi Muhammad yang bernama Abdullah bin Umar melaporkan, semasa orang-orang Islam dari Mekah baru tiba di Madinah, mereka semua berkumpul sementara menunggu masuknya waktu sembahyang. Pada masa itu belum ada apa-apa cara memanggil orang supaya bersembahyang. Disebabkan keadaan itu, pada suatu hari mereka berbincang berkenaan perkara tersebut. Ada antara mereka yang berkata, “Gunakan loceng macam orang-orang Kristian.” Ada pula yang berkata, “Gunakan trompet daripada tanduk, macam orang-orang Yahudi.” Lalu Umar berkata, “Bagaimana kalau saudara-saudara suruh seorang lelaki supaya melaungkan panggilan sembahyang?” Nabi Muhammad pun berkata, “Wahai Bilal, berdirilah, dan laungkan panggilan sembahyang.” --
Hadith No. 190 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim.

Dalam peristiwa di atas, Nabi Muhammad adalah ketua kerja, yakni ketua sembahyang. Sebagai ketua kerja beliau menghadapi masalah bagaimana mahu memanggil anak-anak buahnya supaya datang sembahyang.

Tugas memanggil anak-anak buah supaya cepat datang bekerja adalah salah satu tugas ketua kerja. Dalam kes di atas, sebagai ketua kerja beliau
tidak berfikir seorang diri mencari jalan bagaimana mahu menjalankan kerjanya itu -- meskipun kerja itu adalah termasuk dalam senarai tugas beliau.

Nabi Muhammad mengadakan sesi berfikir bersama-sama dengan anak-anak buahnya bagi mencari penyelesaian. Anak-anak buahnya berfikir dan mengemukakan idea-idea, manakala beliau hanya memilih idea mana yang terbaik.

Nota: Salah satu prinsip yang dapat digali daripada kes di atas adalah: Apabila sesuatu masalah kerja itu akan dilaksanakan oleh anak-anak buah, Nabi Muhammad melibatkan anak-anak buahnya dalam mencari penyelesaian.


Tiada ulasan: