Kreativiti: Jumlah dan Peranan Anggota Kumpulan Berfikir Nabi Muhammad

Dalam catatan sejarah di bawah ini jelaslah bahawa Nabi Muhammad mengadakan sesi khas bagi menjalankan sesi berfikir secara kreatif yang diadakan khusus dengan satu agenda khas, yakni mencari idea bagaimana mahu mengumumkan bahawa waktu sembahyang sudah masuk.

Seorang sahabat Nabi Muhammad yang bernama Abdullah bin Umar melaporkan, semasa orang-orang Islam dari Mekah baru tiba di Madinah, mereka semua berkumpul sementara menunggu masuknya waktu sembahyang. Pada masa itu belum ada apa-apa cara memanggil orang supaya bersembahyang. Disebabkan keadaan itu, pada suatu hari mereka berbincang berkenaan perkara tersebut. Ada antara mereka yang berkata, “Gunakan loceng macam orang-orang Kristian.” Ada pula yang berkata, “Gunakan trompet daripada tanduk, macam orang-orang Yahudi.” Lalu Umar berkata, “Bagaimana kalau saudara-saudara suruh seorang lelaki supaya melaungkan panggilan sembahyang?” Nabi Muhammad pun berkata, “Wahai Bilal, berdirilah, dan laungkan panggilan sembahyang.”
--
Hadith No. 190 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim.

Dalam peristiwa di atas, tidak dicatatkan jumlah sebenar orang yang hadir dalam sesi berfikir itu. Yang jelas minimum ada 5 orang, masing-masing dengan peranan masing-masing

(i) Nabi Muhammad
Beliau adalah ketua kumpulan yang mempunyai kuasa membuat keputusan. Dalam kes di atas Nabi Muhammad menjalankan 3 tugas, iaitu (a) Menilai setiap idea yang dikemukakan, (b) Memilih idea yang terbaik, (c) Melantik orang yang melaksanakan idea itu.

(ii) Umar bin Khattab
Beliau adalah anggota kumpulan yang sangat senior dalam jawatannya. Beliau juga pegawai tinggi yang memiliki bakat berfikir secara kreatif yang tinggi. Dalam kes di atas beliau mengemukakan idea azan, yang diterima oleh Nabi Muhammad sebagai ketua kumpulan.

(iii) Pencadang idea loceng
Beliau anggota yang tidak senior, sehingga pelapor hadith ini tidak mencatatkan nama beliau. Beliau tidak memiliki bakat kreatif yang tinggi,
namun beliau mempunyai pengetahuan berkenaan dunia orang Kristian. Idea yang beliau kemukakan adalah idea yang tidak original iaitu dipinjam daripada idea orang Kristian. Beliaulah yang mula-mula mengemukakan ideanya dalam sesi berfikir.

(iv) Pencadang idea trompet
Beliau anggota yang tidak senior, sehingga pelapor hadith ini tidak mencatatkan nama beliau. Beliau tidak memiliki bakat kreatif yang tinggi, namun beliau mempunyai pengetahuan berkenaan dunia orang Yah. Idea yang beliau kemukakan adalah idea yang tidak original iaitu dipinjam daripada idea orang Yahudi. Beliau orang kedua yang mengemukakan ideanya dalam sesi berfikir itu.

(v) Bilal bin Rabah
Beliau adalah anggota yang sederhana senior, kerana pelapor hadith ini mencatatkan nama beliau, dan Nabi Muhammad menyebut namanya semasa melantik beliau sebagai pelaksana idea. Beliau bukan seorang yang memiliki bakat kreativiti yang tinggi kerana beliau tidak mengemukakan sebarang idea kreatif namun beliau memiliki ciri-ciri yang melayakkan beliau dilantik menjadi pegawai pelaksana idea.

Dapat disimpulkan bahawa komposisi keanggotaan kumpulan berfikir Nabi Muhammad terdiri daripada (a) ketua kumpulan (b) pegawai tinggi yang kreatif (c) pegawai peringkat pertengahan yang menjadi pelaksana idea (d) pegawai rendah yang menjadi pencetus idea.

Walaupun akhirnya idea yang dipilih adalah idea azan yang dikemukakan oleh pegawai tinggi, n
amun beliau hanya mengemukakan idea kreatifnya itu selepas mendengar idea loceng dan trompet.


Tiada ulasan: