Kreativiti: Nabi Muhammad Tidak Mengulas Kekurangan Idea yang Ditolak Mahupun Kelebihan Idea yang Diterima

Ketua tidak wajib mencipta idea-idea kreatif bagi menyelesaikan masalah-masalah secara kreatif. Tugas mencipta idea boleh diserahkan kepada anak-anak buah. Idea-idea kreatif itu kemudian dinilai oleh ketua lalu ketua yang memilih idea mana yang paling bagus dan sesuai.

Seorang sahabat Nabi Muhammad yang bernama Abdullah bin Umar melaporkan, semasa orang-orang Islam dari Mekah baru tiba di Madinah, mereka semua berkumpul sementara menunggu masuknya waktu sembahyang. Pada masa itu belum ada apa-apa cara memanggil orang supaya bersembahyang. Disebabkan keadaan itu, pada suatu hari mereka berbincang berkenaan perkara tersebut. Ada antara mereka yang berkata, “Gunakan loceng macam orang-orang Kristian.” Ada pula yang berkata, “Gunakan trompet daripada tanduk, macam orang-orang Yahudi.” Lalu Umar berkata, “Bagaimana kalau saudara-saudara suruh seorang lelaki supaya melaungkan panggilan sembahyang?” Nabi Muhammad pun berkata, “Wahai Bilal, berdirilah, dan laungkan panggilan sembahyang.” --
Hadith No. 190 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim.

Dalam sesi kreativiti, fungsi ketua yang paling penting adalah:

1. Membuat pilihan idea mana yang diterima
2. Membuat keputusan bila idea itu mahu dilaksanakan
3. Bagaimana idea itu akan dilaksanakan
4. Kepada siapa pelaksanaan idea itu diserahkan

Dalam hadith di atas, Nabi Muhammad mendengar 3 idea yang dicadangkan oleh anak-anak buahnya kepada beliau. Beliau menolak 2 idea, yakni idea loceng dan trompet, lalu menerima 1 idea, yakni idea laungan azan.

Sebagai ketua, apabila menolak sesuatu idea, Nabi Muhammad tidak menerangkan alasan-asalan mengapa idea itu beliau tolak. Begitu juga, apabila menerima idea, beliau juga tidak menerangkan alasan mengapa idea itu beliau terima.


Tiada ulasan: