Nabi Muhammad adalah seorang yang sangat berhati-hati apabila memberi nasihat. Salah satu prinsip yang beliau amalkan apabila memberi nasihat adalah: Nasihat hanya diberikan apabila diminta.
Dalam rekod sejarah, banyak catatan yang menunjukkan bagaimana Nabi Muhammad tidak memberi nasihat meskipun kepada orang yang sepatutnya layak diberi nasihat kerana orang itu jahil hukum agama dan akhlaknya pun kurang baik.
Pada suatu hari, ada seorang pemuda datang berjumpa dengan Nabi Muhammad. Dia berkata, “Saya telah bercumbu-cumbu dengan seorang perempuan dari pinggir kota. Saya sudah buat semuanya, kecuali bersetubuh dengannya. Sekarang saya datang ke hadapan paduka tuan, maka hukumlah saya sebagaimana yang paduka tuan mahu.” Saidina Umar memarahi pemuda itu, katanya, “Allah menutupi kesalahan kamu jikalau kamu menutupi diri kamu sendiri!” Mendengar kata-kata Saidina Umar itu, Nabi Muhammad tidak bercakap apa-apa. Kemudian lelaki itu pergi. Nabi Muhammad segera menyuruh orang memanggil pemuda itu supaya datang semula. Kemudian beliau membacakan kepada pemuda itu ayat ini: “Dan dirikanlah sembahyang itu pada pagi dan petang, dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan dosa daripada perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat.” Kemudian, ada seorang lelaki lain yang ada di situ bertanya, “Wahai Rasul Allah, apakah ayat itu ditujukan khusus untuk dia seorang sahaja, ataupun ayat itu ditujukan untuk semua orang?” Nabi Muhammad menjawab, “Untuk semua orang.” - Hadith ini direkodkan oleh Abu Daud
Dalam peristiwa di atas, pemuda itu meminta dirinya dihukum, tetapi Nabi Muhammad tidak menghukumnya kerana kesalahan bercumbu-cumbu adalah kesalahan yang tiada hukumannya di dunia ini. Hukumannya adalah di akhirat nanti.
Tujuan pemuda itu meminta supaya dirinya dihukum adalah disebabkan dia mahu membersihkan dosa-dosanya. Kerana itu Nabi Muhammad menerangkan kepadanya cara yang betul membersihkan dosa. Cara-cara itu terkandung dalam ayat Quran yang dibacakan kepada pemuda itu.
Disebabkan pemuda itu bukan datang dengan tujuan mahu meminta nasihat, maka Nabi Muhammad tidak menasihatinya apa-apa.
Contoh ayat nasihat:
* "Kamu jangan buat lagi kerja terkutuk itu."
* "Apa yang kamu lakukan itu, jangan sekali-kali kamu ulangi lagi."
* "Ingatlah Tuhan sentiasa melihat apa yang kamu lakukan, walaupun dalam gelap."
* "Kamu masih muda, jangan dekati perempuan, sebab kamu mudah tergoda dengan maksiat."
* "Nasib baik kamu tidak terlanjur, jika terlanjur kamu akan direjam."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan