Sebagai Kaunselor: Nabi Muhammad Tidak Siasat Perempuan Dicerai Talak Tiga

Prosedur kaunseling aliran Barat menyebabkan kaunselor menyiasat punca-punca perceraian berlaku. Ini tidak dilakukan oleh Nabi Muhammad. Dalam catatan di bawah ini Nabi Muhammad menjalankan sesi kaunseling kepada seorang perempuan yang dicerai talak tiga.

Fatimah binti Qais melaporkan bahawa dirinya pernah dicerai dengan talak tiga oleh bekas suaminya. Nabi Muhammad menerangkan kepadanya bahawa dia tidak berhak menerima tempat tinggal dan belanja hidup dari bekas suaminya itu. Nabi Muhammad berkata kepadanya, “Apabila cikpuan sudah tamat tempoh iddah, beritahu saya.” Lalu apabila tempoh iddahnya sudah tamat, Fatimah pun memaklumkan perkara itu kepada Nabi Muhammad. Kemudian daripada itu ada tiga orang lelaki meminang dirinya, iaitu Muawiyah, Abu Jaham, dan Usamah bin Zaid. Nabi Muhammad berkata kepadanya, “Muawiyah itu miskin, sedangkan Abu Jaham suka memukul isterinya, sebaiknya cikpuan terima Usamah sahaja.” Hati Fatimah tidak setuju dengan nasihat Nabi Muhammad. Sambil dia memulas-mulas tangannya, dia berkata, “Usamah?” Kemudian Nabi Muhammad berkata, “Taat kepada Allah dan Rasulnya adalah lebih baik bagi cikpuan.” Lalu Fatimah pun bernikah dengan Usamah. Menurutnya, selepas itu dia mengecapi kebahagiaan dalam perkahwinannya dengan Usamah. -- Hadith No. 862 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim


Dalam peristiwa di atas Nabi Muhammad tidak bertanya kepada Fatimah binti Qais soalan-soalan seperti:

* "Apa yang berlaku sampai kamu dicerai talak tiga?"
* "Apa kesalahan kamu?"
* "Bila dia ceraikan kamu?"
* "Kamu bergaduhkah?"
* "Kamu yang minta ceraikah?"
* "Suami kamu ada isteri lainkah?"
* "Dia mabukkah waktu itu?"
* "Dia ada penyakit panas barankah?"
* "Dia tidak menyesalkah?"
* "Dia di mana sekarang?"
* "Berapa lama kamu sudah kahwin dengan dia?"
* "Berapa orang anak kamu?"

Perbuatan menyiasat punca-punca perceraian menyebabkan berlakunya 3 dosa:

1. Dosa kerana menyuruh orang supaya membuka aib.

2. Dosa orang itu mendedahkan keaibannya sendiri kepada kaunselor, dan keaiban orang-orang lain seperti suami, ibu mertua, kaum keluarga dan banyak lagi.

3. Dosa kaunselor yang mendengari orang bercerita tentang perkara-perkara yang mengaibkan.

Dalam mazhab kaunseling cara Nabi Muhammad, kaunselor mencadangkan cara penyelesaian tanpa perlu mengetahui aib sesiapa pun
.


.

5 ulasan:

Unknown berkata...

Assalamualaikum, sungguh indah kaedah dalam penyelesaian yang Nabi saw lakukan. Baru hari ini mengetahui buruknya cara saya menyelesaikam masalah. Semuanya berkisar dengan mengapa, bagaimana sebelum menyelesaikam masalah. Berdosa apabila banyak bertanya kerana kita membuka aib dan menjatuhkam maruahnya sedang masalahnya tidak dapat cara terbaik untukdi selesaikan. Terima kasih PUAN Ainon yg budiman memberi info kerana saya kurang membaca cara Nabi menyelesaikam masalah.

kaunselor berkata...

salam buat puan ainon yang berhati mulia.. penerangan yang puan berikan berdasarkan hadis ini amat menarik dan banyak manfaatnya. jelas dan boleh dijadikan ikutan buat saya.. indah sungguh akhlak rasulullah SAW. saya seorang kaunselor di sekolah. saya juga mempunyai sedikit ilmu agama sebagai bekal untuk saya dan keluarga. berkaitan dengan hadis ini jika dipandang dari sudut psikologi memang rasulullah SAW tidak menyelidiki latar belakang Fatimah dan sahabat nabi yang disebutkan dalam hadis ini. jika dilihat daripada hadis ini juga, ternyata rasulullah SAW telah mengetahui latar belakang sahabat baginda sehingga baginda menyatakan muawiyah itu miskin, abu jaham suka memukul isterinya.. saya juga ada berbincang isu menceritakan aib dan menjaga aib orang bersama sahabat saya al-hafiz lulusan subra, beliau berpendapat sekiranya aib itu dijaga dan bertujuan menyelesaikan masalah maka itu dibolehkan. walau bagaimana pun, saya amat tertarik dengan hadis ini dan kajian yang dilaksanakan oleh puan ainon yang berhati mulia dan rakan pengkaji hadis yang bijaksana ini.. apapun maaf daripada saya sekiranya pendapat ini menyinggung mana-mana pihak..

Tanpa Nama berkata...

Untuk makluman Puan Ainon dan semua yang terlibat dalam 'mazhab kaunseling islami' - di dalam Islam cuma ada 4 mazhab yang diterima iaitu oleh Imam Maliki, Hanafi, Shafie dan Hambali. Ini baru kali pertama saya mendengar ada 'mazhab' kaunseling islami...Sungguh menarik. Namun Puan, perlu juga untuk kita saling berhati-hati dengan perkara-perkara atau projek yangs sedang puan lakukan. Sesungguhnya Rasul saw pernah bersabda yang bermaksud 'Setiap perkara baru (yakni Bid'ah) adalah di dalam Neraka" (Sohih Bukhari Muslim). Hati-hati di dalam setiap apa yang Puan ingin sampaikan kepada pembaca mahupun pendengar.

Wallahua'lam...

Tanpa Nama berkata...

Saya juga bersetuju dengan kaunselor di atas. Dalam konteks kaunseling, tiada istilah 'membuka aib' sesiapa. Dan kalau Puan Ainon dan team mengkaji lebih mendalam tentang Kaunseling Barat mahupun Islami, ianya berpaksi atas tunjang yang sangat islamik. Di antaranya adalah menjaga 'confidentiality' of client's issues and concerns. Bukankan itu satu kaedah menjaga maruah klien di dalam proses kaunseling itu sendiri?

Renungkan dan fikirkan.

Sekian, terima kasih.

Tanpa Nama berkata...

Hukum membuka aib asalnya adalah haram. Namun ia berubah mengikut situasi. Apabila mendedahkan aib itu perlu untuk menyelesaikan masalah, maka ia dibolehkan dalam Islam.

Dalam hadis di atas sendiri ada poin, di mana Nabi Muhammad SAW mengatakan Abu Jaham suka memukul isterinya. Bukankah itu aib atau sisi kekurangan Abu Jaham?

Kita tidak boleh mengatakan kaunseling barat yang menyiasat punca masalah, adalah tidak bertepatan dengan kaunseling Nabi SAW. Ia ditimbang pada kebaikan dan keburukan.

Nabi Muhammad SAW sangat menjaga tutur kata agar tidak berbicara perkara tidak berfaedah. Maka tidak hairan baginda SAW tidak menyiasat punca perceraian. Ia tidak akan mengubah apa-apa, memandangkan Fatimah bin Qais sudah ditalak tiga yang tidak boleh lagi dirujuk.