Sebagai Komunikator: Cara Nabi Muhammad Menolak Permintaan

Nabi Muhammad adalah seorang komunikator yang persuasif. Apabila beliau bercakap, orang yang mendengar mudah dapat memahami mesej-mesej yang disampaikannya.

Bercakap bagi tujuan menolak permintaan adalah sesuatu yang sangat sukar dilakukan oleh kebanyakan orang. Namun, apabila Nabi Muhammad menolak permintaan, orang yang permintaannya ditolak itu tidak berkecil hati, malah berasa beruntung.

Dalam rekod sejarah, ada catatan tentang suatu peristiwa apabila Nabi Muhammad menolak permintaan.

Ali bin Abu Talib adalah menantu kepada Nabi Muhammad. Beliau melaporkan bahawa isterinya, Fatimah binti Muhammad, pernah meminta kepada ayahnya supaya dia diberi seorang pembantu rumah. Nabi Muhammad menjawab dengan berkata, "Mahukah ayahanda beritahu sesuatu yang lebih baik untuk anakanda berdua dibandingkan dengan seorang pembantu rumah? Apabila
anakanda berdua pergi ke katil kamu berdua, ataupun anakanda pergi ke tempat tidur kamu berdua, bacalah takbir 33 kali, dan baca tasbih 33 kali, dan baca tahmid 33 kali. Itul adalah lebih baik bagi anakanda berdua daripada seorang pembantu rumah." -- Hadith ini dipetik dari koleksi hadith-hadith autentik dalam rekod Bukhari.

Dalam peristiwa di atas, apabila Nabi Muhammad menolak permintaan, beliau melakukan perkara-perkara berikut:

a. Beliau menolak apa yang diminta oleh orang itu, dan beliau memberikan gantian yang lebih murah tetapi nilainya lebih tinggi.

b. Beliau memulakan ayat penolakan dengan berkata "Mahukah kamu...."

c. Beliau tidak memberi alasan-alasan yang menyebabkan beliau tidak dapat memberikan apa yang minta.

d. Beliau tidak mengkritik si peminta.

e. Beliau tidak membuat si peminta berasa bersalah kerana meminta apa yang dimintanya.

f. Beliau tidak merendah-rendahkan perkara yang diminta itu.

g. Beliau tidak meminta maaf kerana tidak dapat memberikan apa yang diminta.


Tiada ulasan: