Dalam rekod-rekod sejarah terdapat banyak catatan berkenaan bagaimana Nabi Muhammad melayan orang-orang yang melakukan kesalahan.
Lazimnya ketua-ketua bersikap tegas dan keras kepada orang-orang bawahannya yang melanggar peraturan dan melakukan kesalahan. Ini lebih-lebih lagi apabila si pesalah itu melanggar peraturan yang diketahuinya, yakni dia tahu hal itu salah tetapi dilakukan juga.
Dalam salah satu catatan itu, terdapat peristiwa di mana Nabi Muhammad melayan si pesalah dengan cara yang sangat lembut dan bertimbang rasa, malah beliau memberi hadiah kepada si pesalah.
Pada suatu hari ada seorang lelaki datang berjumpa Nabi Muhammad. Lelaki itu berkata, "Malang sungguh nasibku, wahai Rasul Allah." Nabi Muhammad bertanya, "Apa yang menyebabkan saudara ditimpa malang?" Lelaki itu menjawab, "Dalam bulan Ramadhan, siang tadi, saya telah melakukan seks dengan isteri saya." Nabi Muhammad bertanya, "Mampukah saudara membebaskan seorang hamba?" Lelaki itu menjawab, "Tidak." Nabi Muhammad bertanya lagi, "Sanggupkah saudara berpuasa 2 bulan berturut-turut hari?" Lelaki itu menjawab, "Tidak." Nabi Muhammad bertanya lagi, "Mampukah saudara memberi makan 60 orang miskin?" Lelaki itu menjawab, "Tidak." Lelaki yang tadinya berdiri, kemudian dia duduk. Pada saat itu ada pula orang memberi sebakul buah kurma kepada Nabi Muhammad. Kemudian Nabi Muhammad berkata kepada lelaki itu, "Bersedekahlah dengan menggunakan kurma ini." Lelaki itu berkata, "Adakah mana-mana orang lain yang lebih miskin daripada kami? Di sekitar ini, tidak ada sesiapa yang lebih memerlukan daripada kami." Mendengar kata-kata lelaki itu, Nabi Muhammad tersenyum lebar sehingga gigi taringnya dapat dilihat. Akhirnya beliau berkata kepada lelaki itu, "Saudara baliklah. Berilah keluarga saudara makan dengan kurma ini." - Hadith No. 589 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim
Dalam peristiwa di atas, Nabi Muhammad memberi hadiah sebakul buah kurma kepada si pesalah. Nabi memberikan kurma itu sebagai hadiah kepada lelaki itu supaya dia dapat menggunakan kurma itu bagi menebus dosanya, di mana dia dapat memberi makan kepada 60 orang miskin. Kemudian lelaki itu memberitahu Nabi bahawa dirinya adalah orang yang paling miskin. Kemudian barulah Nabi memberitahu supaya dia ambil kurma itu untuk diri dan keluarganya sendiri.
2 ulasan:
Assalamu'alaikum.
Hadis ini menerangkan 3 tahap kaffarah apabila melakukan kesalahan berjimak di siang hari bulan Ramadan. Apabila tidak mampu melakukan yang pertama, maka lakukan yang kedua. Jika tidak mampu yang kedua, lakukan yang ketiga. Apabila yang ketiga, pelaku kesalahan tidak mampu juga kerana dia sendiri miskin, maka dalam kes ini, pesalah termasuk dalam golongan yang harus menerima sedekah itu tadi. Jadi pesalah menerima kurma itu kerana dia sendiri layak menerima sedekah. Bukannya sebagai hadiah kerana melakukan kesalahan.
Mohon dinyatakan justifikasi pengkaji menyatakan ianya hadiah kerana melakukan kesalahan.
Wassalam.
Dalam matan hadith itu disebutkan (i) lelaki itu melakukan kesalahan, dan (ii) Nabi Muhammad memberi sebakul kurma kepada lelaki itu.
Tidak disebutkan dalam matan apa yang ada dalam minda Nabi Muhammad pada saat beliau memberi hadiah itu.
Ada kemungkinan:
(i) Nabi memberikan kurma itu sebagai hadiah kepada lelaki itu supaya dia dapat menggunakan kurma itu bagi menebus dosanya, di mana dia dapat memberi makan kepada 60 orang miskin. Kemudian lelaki itu memberitahu Nabi bahawa dirinya adalah orang yang paling miskin. Kemudian barulah Nabi memberitahu supaya dia ambil kurma itu untuk diri dan keluarganya sendiri.
(ii) Nabi memberi kurma itu sebab lelaki itu layak menerima sedekah.
Catat Ulasan