Nabi Muhammad adalah seorang ketua. Salah satu tugas ketua adalah memberi ganjaran kepada anak-anak buah.
Ganjaran yang diberikan oleh ketua boleh menyebabkan timbulnya perasaan tidak puas hati kepada yang tidak menerima ganjaran. Perkara seperti ini pernah berlaku kepada Nabi Muhammad.
Anas bin Malik adalah salah seorang sahabat Nabi Muhammad. Dia melaporkan suatu peristiwa yang dia pernah saksikan. Menurutnya, pernah berlaku pada suatu masa ada dua orang lelaki bersin dekat dengan Nabi Muhammad. Nabi Muhammad berdoa untuk salah seorang daripada mereka berdua dengan ucapan, "Yaharmukallah." Yang seorang lagi yang tidak didoakan oleh Nabi Muhammad. Lelaki itu tidak puas hati lalu berkata, "Mengapakah apabila si polan bersin, tuan mendoakan dia, tetapi apabila saya bersin, tuan tidak mendoakan saya?" Nabi Muhammad menjawab, "Selepas dia bersin, dia membaca Alhamdulillah, sedangkan saudara tidak membaca Alhamdulillah."
Daripada catatan peristiwa di atas, dapat disedut teknik bagaimana Nabi Muhammad memberikan ganjaran ke atas sesuatu pekerjaan:
1. Lelaki yang pertama melakukan kerja dengan teknik yang betul. Dia bersin dan dia menyebut Alhamdulillah. Disebabkan dia melakukan kerja itu dengan betul, Nabi Muhammad memberikan ganjaran kepadanya. Ganjaran itu adalah doa. Ganjaran itu diberikan secara terbuka, yakni diketahui oleh orang-orang lain, di mana Nabi Muhammad mendoakan lelaki itu dengan suara yang jelas dapat didengar oleh orang yang kebetulan ada di situ.
2. Lelaki yang kedua membuat kerja dengan teknik yang salah. Dia bersin tetapi dia tidak menyebut Alhamdulillah. Walaupun teknik itu salah, Nabi tidak menegur kesalahannya itu. Nabi Muhammad cuma tidak memberi ganjaran, yakni beliau tidak mendoakan lelaki itu. Orang yang tidak menerima doa itu tidak puas hati dan menyatakan bantahan mengapa dia tidak dapat doa dari Nabi Muhammad. Nabi Muhammad menerangkan kepada lelaki itu kriteria pemberian doa, dan mengapa doa tidak diberikan kepadanya.
Nabi Muhammad tidak memarahi orang yang tidak puas hati itu dengan berkata:
* "Kenapa awak cemburu?"
* "Kalau awak hendak saya doakan awak, awak kenalah perbaiki cara kerja awak."...
* "Lain kali awak buat kerja elok-elok macam Si Fulan, barulah saya beri awak ganjaran macam dia juga."
* "Sikap awak tak betul. Awak hendak saya beri ganjaran, tapi kerja awak tak semenggah!"
1 ulasan:
Subhanallah, bagindalah ikutan kita.
Catat Ulasan