Testimoni Cikgu Khairulaniza Khairuddin

Teknik Memuji-Muji

Hari ini saya ingin membicarakan tentang tindakan memuji seseorang. Kadang kala pujian yang ikhlas pun belum tentu memberi impak yang positif. Kemungkinan teknik yang kita gunakan untuk memuji itu kurang tepat, misalnya:

Kata seorang suami kepada isterinya, “Kamu cantik!”

Kata-kata di atas merupakan pujian kepada orangnya (iaitu isteri). Apabila suami membuat pujian yang salah, kemungkinan isteri mendapat persepsi yang salah.

Sangka isteri, “Suamiku menyayangiku kerana kecantikanku.”

Kemungkinan impaknya, si isteri mungkin berasa ujud atau mungkin riyak. Ataupun si isteri akan sentiasa cuba menjaga kecantikannya dan sanggup berhabis duit untuk khidmat kecantikan atau pembelian alat mekap dan sebagainya. Semua itu demi memastikan suami sentiasa menyayangi dirinya.

Dalam hal ini, disarankan agar seseorang suami mengikut teknik nabi dalam memuji seseorang, misalnya memuji prestasi / tingkah laku isteri yang baik seperti, “Masakan sayang memang sedap.”

Mengikut teknik Nabi Muhammad, yang dipuji bukan orangnya tetapi hasil kerjanya.

Disebabkan sekolah belum dibuka, saya mencuba teknik pujian ini kepada anak lelaki saya yang saya panggil abang. Izz berumur 8 tahun. Alkisahnya...

Malam semalam, Izz menunjukkan gambar orang yang dilukisnya. Izz belum pernah melukis orang ,lalu saya berkata, “Ibu kagum dengan hasil kerja abang. Kalau abang selalu berlatih melukis, pasti abang akan dapat melukis dengan lebih baik dan menjadi pelukis hebat pada masa akan datang.” Ketika itu, suami saya juga ada bersama. Jawab Izz sambil tersenyum, “Abang tidak mahu menjadi pelukislah, ibu.”

Saya terlupa bahawa Izz mahu menjadi saintis. Serta-merta saya menjawab, “Tidak mengapa. Abang boleh menjadi saintis yang pandai melukis.”

Kemudian, menyedari bahawa lukisan Izz tidak diwarnakan, saya berkata kepadanya, “Abang, adalah lebih baik andai lukisan ini abang warnakan. Lukisan ini akan nampak lebih cantik.”

Kata suami saya kepada Izz, “ Lelaki yang kuat sepatutnya ada otot-otot di lengannya.” Suami saya merujuk kepada lukisan Izz. (Lelaki dalam lukisan Izz dikatakannya ada ‘super power’)

Sambung saya, “Andai abang lukis lukis lelaki ini dengan lengan berotot, kesannya lebih hebat kerana lelaki ini akan nampak lebih kuat.”

Prinsip 1: Pujian hendaklah dibuat sebaik sahaja tingkah laku positif dibuat.
Jadi, apabila Izz menunjukkan gambar orang yang dilukisnya, saya terus memujinya.

Kebaikan membuat pujian sebaik sahaja tingkah laku positif dibuat:
a) supaya kita tidak lupa kepada tingkah laku positif itu
b) supaya tingkah laku itu diulang
c) supaya orang yang mendengar tidak lupa
d) supaya dapat meninggikan maruah @self esteem pelaku

Prinsip 2 : Apabila kita lihat membuat sesuatu yang baik tanpa disuruh, kita harus memujinya dengan kata-kata, “ Saya kagum dengan kerja kamu.”
Apabila Izz menunjukkan gambar orang yang dilukisnya, “ Ibu kagum dengan hasil kerja abang.”

Prinsip 3 :
Apabila perbuatan yang baik dibuat di hadapan orang besar/ secara terbuka, pujian juga harus diberikan di hadapan orang besar/terbuka. Dalam hal ini, Izz telah menunjukkan lukisannya kepada saya di hadapan ayahnya. Saya telah memuji Izz di hadapan ayahnya (orang besar)

Prinsip 4 :
Puji tindakan/perbuatan @ action + sebutkan impaknya

“Ibu kagum dengan hasil kerja abang. Kalau abang selalu berlatih melukis, pasti abang akan dapat melukis dengan lebih baik dan menjadi pelukis hebat pada masa akan datang.”

Hati-hati menyebut impaknya kerana dalam hal berkaitan Izz, anak saya tidak bercita-cita menjadi pelukis. Jadi, kesilapan saya ialah saya menyebut impak yang kurang tepat.

Sebab itu cepat-cepat saya respon, “Tidak mengapa. Abang boleh menjadi saintis yang pandai melukis.”

Sebut pasal impak ini, sebenarnya, ada tiga impak yang saya nyatakan kepada Izz iaitu :

1) Kalau abang selalu berlatih melukis, pasti abang akan dapat melukis dengan lebih baik dan menjadi pelukis hebat pada masa akan datang.
2) “Abang, adalah lebih baik andai lukisan ini abang warnakan. Lukisan ini akan nampak lebih cantik.”
3) “Andai abang lukis lelaki ini dengan lengan berotot, kesannya lebih hebat kerana lelaki ini akan nampak lebih kuat.”

Dalam hal ini, melalui pujian menggunakan teknik Nabi Muhammad, saya telah berjaya (berbunga-bunga hati saya) mendorong Izz (bukan menyuruh) untuk membuat banyak latihan melukis, mewarnakan lukisannya dan melukis secara lebih realistik d (lelaki berotot)

Inilah HASILnya. (rujuk blog)

Pagi ini, ketika bangun pagi, saya melihat lukisan Izz sudah diwarnakan.
* Saya sudah tidur ketika lukisan ini diwarnakan.

Ini lukisan kedua yang dihasilkan Izz. (rujuk blog)
Saya telah mendorong Izz supaya melukis lagi.

Kata-kata saya, “Kalau abang selalu berlatih melukis...”

Dalam lukisan ini, lihat juga lengan lelaki yang dilukis Izz .Lengan lelaki itu ada berotot (rujuk blog)

Kata-kata saya, “Andai abang lukis lelaki ini dengan lengan berotot...”

Izz telah membuat penambahbaikan pada lukisan keduanya tanpa disuruh berbuat demikian.

** Saya sudah tidur ketika Izz membuat lukisan kedua. Saya pasti Izz sudah penat dan tidak sempat mewarnakan lukisannya itu.

Puan Khairulaniza Khairuddin



Tiada ulasan: