Sebagai Komunikator: Nabi Muhammad Tidak Mempersoal Maksud dalam Hati Rakan-bualnya

Perkataan lain yang hampir sama maknanya dengan istilah 'integriti' adalah maruah.

Salah satu punca yang menyebabkan proses komunikasi rosak adalah apabila salah seorang berasa integriti dirinya dipersoal.

Dalam catatan sejarah ada suatu peristiwa di mana Nabi Muhammad tidak menunjukkan sebarang reaksi negatif apabila ada orang yang mengucapkan kata-kata yang boleh menyebabkan proses komunikasi rosak.

Seorang sahabat Nabi Muhammad yang bernama Huzaifah melaporkan, pada suatu hari ada rombongan wakil penduduk negeri Najran datang berjumpa Nabi Muhammad. Mereka berkata, “Wahai Rasul Allah, hantarkanlah untuk kami seorang lelaki yang dapat dipercayai.” Lalu Nabi Muhammad menjawab, “Baiklah, saya akan hantarkan seorang lelaki yang amat dipercayai. Dia benar-benar dipercayai. Benar-benar dipercayai.” Menurut Huzaifah, orang-orang pun memikir-mikirkan siapa gerangan lelaki itu. Akhirnya, terbukti Nabi Muhammad menghantarkan Abu Ubaidah bin Jarrah. - Hadith No. 1651 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim

Dalam peristiwa di atas, jurucakap rombongan dari negeri Najran itu berkata
"....hantarkanlah untuk kami seorang lelaki yang dapat dipercayai.”
Bagi orang biasa-biasa, kata-kata macam cakap orang Najran itu boleh menyebabkan dia berasa integriti dirinya dipertikaikan.

Namun, dalam peristiwa itu Nabi Muhammad tidak berkata:

* "Kenapa? Kamu tidak percaya kepada saya?"
* "Takkanlah orang macam saya mahu melantik orang jahat menjadi wakil saya!"
* "Apa? Kamu fikir dalam kalangan sahabat-sahabat saya ini ada orang jahat, ya?"

* "Kenapa kamu bercakap begitu? Takkanlah saya akan hantar orang jahat kepada kaummu?"
* "Apakah kamu fikir saya akan menghantar orang yang tidak boleh dipercayai?"
* "Tidak mungkin saya sebagai ketua akan menghantar orang yang tidak baik sebagai wakil saya kepada kaum saudara!"
* "Kamu tidak percayakah kepada kebijaksanaan saya?"
* "Pernahkah kamu dengar cerita saya menghantar wakil orang yang munafik?"

Ayat-ayat dalam contoh di atas itu disebut sebagai ayat-ayat mind-reading. Mind-reading adalah perbuatan apabila kita menyangka kita tahu apa yang tersembunyi di dalam hati dan fikiran orang lain.


Tiada ulasan: