Sebagai Komunikator: Lagi Bukti Nabi Muhammad Mengulang Kata-Penting yang Digunakan oleh Rakan-bualnya

Nabi Muhammad adalah seorang komunikator yang baik. Antara impak teknik komunikasi yang beliau gunakan adalah orang yang bercakap dengan beliau akan mengalami sekurang-kurangnya tiga kesan positif:

1. Faham apa yang beliau maksudkan
2. Yakin beliau bercakap benar
3. Terpengaruh dengan mesej tersurat dalam kata-kata beliau

Salah satu teknik yang beliau gunakan adalah mengulang kata-penting yang diucapkan oleh rakan-bual beliau. Teknik itu ada terdapat dalam catatan sejarah di bawah ini:

Seorang sahabat Nabi Muhammad yang bernama Huzaifah melaporkan, pada suatu hari ada rombongan wakil penduduk negeri Najran datang berjumpa Nabi Muhammad. Mereka berkata, “Wahai Rasul Allah, hantarkanlah untuk kami seorang lelaki yang dapat dipercayai.” Lalu Nabi Muhammad menjawab, “Baiklah, saya akan hantarkan seorang lelaki yang amat dipercayai. Dia benar-benar dipercayai. Benar-benar dipercayai.” Menurut Huzaifah, orang-orang pun memikir-mikirkan siapa gerangan lelaki itu. Akhirnya, terbukti Nabi Muhammad menghantarkan Abu Ubaidah bin Jarrah. - Hadith No. 1651 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim

Dalam peristiwa di atas, Nabi Muhammad mengulang kata-penting yang digunakan oleh wakil rombongan dari negeri Najran itu sebanyak 3 kali.

Menurut Anas, pada suatu masa Nabi Muhammad sedang berdiri dalam masjid menyampaikan khutbah Jumaat. Pada waktu itu Madinah sedang mengalami kemarau yang teruk. Semasa Nabi sedang berkhutbah, ada seorang lelaki masuk ke dalam masjid dari pintu yang bertentangan dengan posisi Darul Qadha'. Kemudian lelaki itu berdiri menghadap Nabi Muhammad, lalu berkata, "Wahai Rasul Allah, harta benda binasa dan jalan-jalan pun terputus. Berdoalah supaya Dia menurunkan hujan kepada kami." Serta merta Nabi Muhammad mengangkat kedua tangannya lalu berdoa, "Ya Allah, turunkanlah hujan kepada kami. Turunkanlah hujan kepada kami. Turunkanlah hujan kepada kami." -- Rekod hadith ini ada dalam koleksi hadith-hadith autentik Bukhari dan koleksi Muslim


Tiada ulasan: