Sebagai Ketua: Bagaimana Nabi Muhammad Melayan Permintaan Orang Kecil

Nabi Muhammad adalah seorang ketua yang sangat sibuk. Masanya sentiasa dipenuhi dengan pelbagai kerja penting. Tetapi beliau dapat melayan semua keperluan anak-anak buahnya. Ada masanya beliau sedang menjalankan tugas penting, tetapi beliau berhenti sebentar kerana mahu melayan permintaan anak buahnya yang datang mengejut.

Salah seorang sahabat Nabi Muhammad bernama Anas bin Malik. Beliau banyak menghafal dalam memorinya peristiwa dan kata-kata Nabi Muhammad yang pernah beliau saksikan sendiri. Salah satu peristiwa yang beliau laporan itu berlaku di dalam masjid pada hari Jumaat semasa Nabi Muhammad sedang menyampaikan khutbah di hadapan orang ramai yang datang bersembahyang.

Menurut Anas bin Malik, pada suatu masa Nabi Muhammad sedang berdiri dalam masjid menyampaikan khutbah Jumaat. Pada waktu itu Madinah sedang mengalami kemarau yang teruk. Semasa Nabi sedang berkhutbah itu, ada seorang lelaki tiba-tiba masuk ke dalam masjid dari pintu yang bertentangan dengan lokasi Darul Qadha'. Kemudian lelaki itu datang berdiri betul-betul menghadap Nabi Muhammad, lalu dia berkata, "Wahai Rasul Allah, harta benda binasa dan jalan-jalan pun terputus. Berdoalah supaya Dia menurunkan hujan kepada kami."
Serta merta Nabi Muhammad mengangkat kedua tangannya lalu berdoa, "Ya Allah, turunkanlah hujan kepada kami. Turunkanlah hujan kepada kami. Turunkanlah hujan kepada kami." -- Rekod hadith ini ada dalam koleksi hadith-hadith autentik Bukhari dan koleksi Muslim

Dalam peristiwa di atas, Nabi Muhammad tidak berkata:

* "Awak tak nampakah saya sedang sibuk? Jangan ganggu saya."
* "Awak tak nampakkah saya sedang buat?"
* "Kalau iya pun, takkan tak boleh tunggu saya selesai baca khutbah."
* "Tunggu di luar dahulu, sampai saya selesaikan kerja ini, baru masuk."
* "Siapa benarkan kamu masuk dengan tidak mengetuk pintu dahulu?"
* "Tunggulah sekejap, jangan main terjah sahaja!"
* "Awak ada appointment nak jumpa saya?"


Tiada ulasan: