Nabi Muhammad adalah seorang ketua kepada ahli-ahli kumpulannya yang terdiri daripada lelaki dan perempuan.
Beliau bukan hanya membantu menyelesaikan masalah-masalah kehidupan yang dihadapi oleh kaum lelaki, malah beliau juga melakukan yang sama kepada kaum perempuan.
Dalam rekod sejarah, ada dicatatkan suatu peristiwa bagaimana Nabi Muhammad membantu seorang perempuan yang baru diceraikan oleh suaminya memilih suami baru.
Fatimah binti Qais melaporkan bahawa dirinya pernah dicerai dengan talak tiga oleh bekas suaminya. Nabi Muhammad menerangkan kepadanya bahawa dia tidak berhak menerima tempat tinggal dan belanja hidup dari bekas suaminya itu. Nabi Muhammad berkata kepadanya, “Apabila cikpuan sudah tamat tempoh iddah, beritahu saya.” Lalu apabila tempoh iddahnya sudah tamat, Fatimah pun memaklumkan perkara itu kepada Nabi Muhammad. Kemudian daripada itu ada tiga orang lelaki meminang dirinya, iaitu Muawiyah, Abu Jaham, dan Usamah bin Zaid. Nabi Muhammad berkata kepadanya, “Muawiyah itu miskin, sedangkan Abu Jaham suka memukul isterinya, sebaiknya cikpuan terima Usamah sahaja.” Hati Fatimah tidak setuju dengan nasihat Nabi Muhammad. Sambil dia memulas-mulas tangannya, dia berkata, “Usamah?” Kemudian Nabi Muhammad berkata, “Taat kepada Allah dan Rasulnya adalah lebih baik bagi cikpuan.” Lalu Fatimah pun bernikah dengan Usamah. Menurutnya, selepas itu dia mengecapi kebahagiaan dalam perkahwinannya dengan Usamah. -- Hadith No. 862 dalam kitab Ringkasan Sohih Muslim
Dalam peristiwa di atas Nabi Muhammad mengambil perhatian serius terhadap masalah yang dialami oleh Fatimah akibat dia diceraikan dengan talak tiga oleh suaminya.
Daripada catatan sejarah itu, dapat dirumuskan bahawa ketua lelaki perlu menjalankan tugas-tugas menjaga kebajikan anak buahnya yang perempuan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan