Buku-buku teks pengurusan organisasi yang ditulis oleh pakar-pakar pengurusan Barat tidak menyentuh peranan agama dalam meningkatkan prestasi organisasi, khususnya dalam organisasi perniagaan dan perdagangan.
Kemajuan syarikat-syarikat milik bangsa bukan Islam seperti Yahudi, Jepun, Amerika, Korea, Jerman, Itali, Perancis, Cina dan lain-lain bangsa menjadi bukti bahawa syarikat boleh berkembang tanpa menggunakan apa-apa jua elemen agama - baik agama Yahudi, Kristian, Islam, Hindu ataupun Budha - sebagai komponen dalam mekanisme operasi syarikat.
Kita dapat simpulkan bahawa tiada campur tangan Tuhan dalam pengurusan syarikat-syarikat multi-nasional. Sebaliknya syarikat-syarikat besar bertaraf dunia itu menggunakan elemen-elemen pengurusan saintifik bagi melaksanakan serba-serbi dalam SOP (standard operating procedures) operasi syarikat. Dan terbukti pengurusan saintifik dapat membangunkan organisasi dengan efektif.
Berdasarkan hujah bahawa pengurusan saintifik terbukti efektif, maka seharusnya organisasi-organisasi yang dimiliki dan dan diurus oleh individu-individu yang beragama Islam perlu menggunakan kaedah pengurusan saintifik.
Dengan memerhatikan prestasi syarikat-syarikat milik orang Islam yang wujud di negara ini, dapat dilihat bahawa syarikat-syarikat yang menggunakan kaedah pengurusan saintifik ciptaan Barat menunjukkan prestasi lebih baik dibandingkan dengan syarikat yang tidak menggunakan pengurusan saintifik.
Dalam senario seperti ini, muncul persoalan seperti:
* Dengan terbuktinya pengurusan saintifik gaya Barat berjaya membangunkan organisasi yang cemerlang, maka di mana perlunya Islam diterapkan dalam pengurusan organisasi?
* Kemajuan sains psikologi Barat terbukti berjaya dijadikan alat bagi membangunkan tenaga manusia dalam organisasi, maka di manakah keperluannya dan relevannya teknik-teknik Nabi Muhammad diperkenalkan ke dalam organisasi yang sudah menggunakan psikologi Barat?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan