Teknik adalah sesuatu yang bebas agama. Justeru teknik menendang bola, ataupun teknik berpidato tidak perlu dikaitkan dengan mana-mana agama. Teknik-teknik itu dapat dipelajari dan diamalkan oleh sesiapa sahaja.
Teknik-teknik yang digunakan oleh Nabi Muhammad dapat dipisahkan daripada elemen keberagamaan, oleh itu teknik-teknik tersebut dapat dipelajari dan digunakan oleh sesiapa sahaja, baik oleh orang Islam mahupun oleh orang yang menganut agama-agama lain. Inilah yang dilakukan oleh orang-orang bukan Islam apabila mereka meminjam elemen-elemen dalam Islam.
Sebagai contoh, teknik Nabi Muhammad memberi markah kepada hasil sesuatu kerja dapat digunakan oleh sesiapa sahaja. Di bawah ini adalah hadith yang menunjukkan teknik pemarkahan yang digunakan oleh Nabi Muhammad:
Imran bin Husain melaporkan pada suatu masa ada seorang lelaki datang mendekati Nabi Muhammad. Lelaki itu berkata, “Assalamualaikum.” Nabi Muhammad berkata, “Dia mendapat 10 pahala.” Kemudian datang pula seorang lain yang berkata, “Assalamualaikum wa rahmatullah.” Nabi Muhammad berkata, “Dia mendapat 20 pahala.” Kemudian datang lagi seorang lain yang berkata, “Assalamualaikum wa rahmatullah wa barakatuh.” Nabi Muhammad berkata, “Dia mendapat 30 pahala.” (Dari Kitab Shahih Sunan Tarmizi: Hadith No. 2689)
Teknik pemarkahan itu dapat diaplikasikan bagi menilai dan memberi ganjaran kepada apa-apa sahaja kerja, bukan khusus untuk kerja memberi salam.
Dengan memisahkan teknik daripada agama, organisasi bukan milik orang Islam pun dapat menggunakan teknik-teknik Nabi Muhammad. Malah trainer bukan Islam pun dapat menyampaikan modul yang menggunakan teknik-teknik Nabi Muhammad.
Nota: Dalam sesi training peserta akan belajar dan berlatih menggunakan teknik-teknik Nabi Muhammad sahaja. Mereka tidak dipaksa mengikuti program ritual ibadah bersama trainer.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan