Tuan Mohammed Zakir Husin menulis...
Assalamualaikum Puan Ainon Mohd yang budiman. Semoga puan terus kekal sihat demi meneruskan perjuangan memandaikan bangsa.
Selepas saya mengikuti Kursus Mendorong Mengubah Tingkah Laku Pekerja Menggunakan Teknik Nabi Muhammad pada 27 Julai 2011 yang lalu, saya boleh merasakan kesannya pada diri saya sendiri. Benar-benar puas dengan ilmu lama yang baru ditemui oleh tim pengkaji hadith yang dipelopori oleh puan.
Malamnya saya bermenung memikirkan rahsia-rahsia psikologi yang terdapat dalam hadith-hadith yang diketengahkan. Terasa malu juga kepada Nabi Muhammad kerana sebagai umatnya, selama ini terlalu mengagungkan dan mempercayai teknik-teknik dan teori-teori psikologi dari barat ketika berhadapan dengan pekerja yang bermasalah.
Alhamdulillah, sehari selepas mengikuti kursus yang puan kendalikan, saya berpeluang untuk mempraktikkannya kepada seorang pegawai yang baik dan sekumpulan 4 orang pekerja yang bermasalah.
Kes Pertama:
Seorang pegawai muda terpilih untuk menyertai Kursus Pemantapan Prestasi Pekerja sebagai urus setia dan penceramah di Yan, Kedah. Beliau diminta untuk pergi bersama-sama urus setia yang lain dengan menaiki kenderaan jabatan.
Malam sebelum hari berangkat, beliau menghubungi saya untuk pergi berasingan kerana mahu menyaksikan perlawanan bolasepak antara Malaysia dengan Singapura. Saya memaklumkan bahawa kita akan singgah di mana-mana restoran yang memilih siaran langsung perlawanan itu. Namun memaklumkan juga jika beliau sudah ada tiket untuk menyaksikan perlawanan itu di stadium, teruskan hasrat itu dan terus ke Yan selepas itu. Beliau mengucapkan terima kasih atas kebenaran yang diberi.
Esok paginya beliau bertanya lagi kepada saya tentang kebenaran yang diberi pada malam tadi. Saya masih kekal dengan keputusan itu dengan menambah bahawa jika Malaysia memang dalam perlawanan itu, ianya akan menjadi sejarah. Saya juga mahu beliau menjadi sebahagian daripada ribuan orang di stadium pada malam bersejarah itu. Beliau sekali lagi ucapkan terima kasih.
Pada petang sebelum pihak urus setia dan peserta bergerak ke Yan dari Kuala Selangor, beliau menghubungi saya lagi dengan melahirkan kebimbangan. Beliau bimbang jika pengurusan tertinggi mengetahui perkara ini lalu saya akan dimarahi. Saya menjelaskan bahawa biarlah saya yang uruskan dengan pihak pengurusan. Lagipun, kebimbangan dia hanyalah sebagai satu risiko sahaja. Belum tentu ianya akan berlaku. Jika ianya berlaku saya akan bertanggung jawab. Jika ianya tidak berlaku, bonuslah untuk kita.
Semasa bersama-sama untuk melepaskan urus setia dan peserta, saya lihat beliau ada bersama. Bila ditanya mengapa dia tidak ke stadium, beliau menyatakan bahawa dia tidak mahu menyusahkan saya dan tidak mahu saya dimarahi oleh pihak pengurusan.
Sebenarnya semasa beliau memohon pergi berasingan, saya merasa marah. Namun, beliau adalah pegawai yang baik maka saya tidak mahu melupakan kebaikannya hanya kerana pertama kali dia bercadang untuk tidak mahu mengikut arahan. Setelah menggunakan kaedah yang dipelajari, akhirnya, hasilnya memihak juga kepada saya tanpa perlu memarahi atau menyinggung perasaan pegawai itu tadi.
August 21, 2011 2:24 AM
Nota kaki: Tuan Mohammed Zakir Husin adalah pengurus jabatan pentadbiran dan sumber manusia di mana beliau kini bertugas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan