Nabi Muhammad Tidak Menasihati Orang Salah di Khalayak

Nabi Muhammad adalah seorang ketua yang baik. Beliau dikasihi oleh semua kategori anak buahnya. Orang yang baik akhlaknya mengasihi beliau, orang-orang yang buruk akhlaknya pun mengasihi beliau.

Lazimnya, anak-anak buah yang buruk akhlaknya tidak mengasihi ketua-ketua disebabkan mereka menjadi sumber kritikan dan nasihat ketua-ketua. Ketua-ketua pula cenderung mengucapkan kritikan dan nasihat di khalayak ramai. Hal ini tidak dilakukan oleh Nabi Muhammad.

Dalam rekod sejarah banyak terdapat catatan yang menunjukkan Nabi Muhammad tidak menasihati orang yang buruk akhlaknya secara terbuka. Catatan sejarah yang di bawah ini adalah satu dari catatan itu.


Umar bin al-Khattab melaporkan, pada suatu masa ada seorang lelaki bernama Abdullah yang nama jolokannya adalah 'Himar' yang bermakna 'si keldai'. Dia seorang yang selalu menyebabkan Nabi Muhammad ketawa. Nabi Muhammad pernah mengenakan hukuman sebat kepada Abdullah atas kesalahan meminum arak. Pada suatu hari sekali lagi Abdullah dibawa ke hadapan Nabi Muhammad atas kesalahan minum arak, Nabi pun menyebat dia. Melihat peristiwa itu seorang lelaki berkata, “Ya Allah! Kutuklah dia. Selalu benar dia dibawa ke hadapan Nabi.” Nabi Muhammad berkata, “Jangan kutuk dia, kerana demi Allah, saya tahu dia mencintai Allah dan Rasulnya.”

Daripada peristiwa itu, ada 2 orang yang melakukan kesalahan:

1. Si peminum arak yang sudah berkali-kali dihukum tetapi belum dapat menghentikan penagihannya.

Dalam peristiwa itu Nabi Muhammad tidak menasihati si pemabuk supaya berhenti minum arak, supaya dia tidak dihukum lagi pada masa hadapan. Beliau juga tidak menasihati si pemabuk itu supaya bertaubat. Malah beliau memuji si pemabuk sebagai orang yang mencintai Allah dan Rasul Allah.

2. Orang yang yang melakukan kesalahan mengutuk si peminum arak itu di khalayak.

Nabi Muhammad hanya menegah si pengutuk supaya jangan mengutuk si penagih arak atas alasan si penagih itu mencintai Allah dan Rasul Allah. Nabi Muhammad tidak menasihati si pengutuk itu dengan memberi sebarang kata-kata nasihat supaya jangan mengutuk orang lain, walaupun orang itu melakukan kesalahan berat seperti minum arak.


Tiada ulasan: