Nabi Muhammad Melindungi Maruah Pesalah Dosa Personal

Pada umumnya, ada dua jenis kesalahan:

1. Kesalahan sosial. Kesalahan ini adalah kesalahan yang dilakukan terhadap orang-orang lain, yakni menyebabkan orang-orang lain menanggung kesan negatifnya. Contohnya, rasuah, penyalahgunaan kuasa, merompak dan banyak lagi.

2. Kesalahan personal. Kesalahan ini adalah kesalahan yang dilakukan terhadap diri sendiri, yakni hanya diri sendiri yang menanggung kesan negatifnya. Contohnya, meminum arak, tidak berpuasa, tidak sembahyang dan lain-lain.

Layanan Nabi Muhammad terhadap pelaku dosa sosial dan dosa personal tidak serupa.

Dalam rekod sejarah banyak terdapat catatan yang menunjukkan teknik Nabi Muhammad menangani kesalahan personal, seperti kesalahan meminum arak. Catatan sejarah yang di bawah ini adalah satu dari catatan itu.


Umar bin al-Khattab melaporkan, pada suatu masa ada seorang lelaki bernama Abdullah yang nama jolokannya adalah 'Himar' yang bermakna 'si keldai'. Dia seorang yang selalu menyebabkan Nabi Muhammad ketawa. Nabi Muhammad pernah mengenakan hukuman sebat kepada Abdullah atas kesalahan meminum arak. Pada suatu hari sekali lagi Abdullah dibawa ke hadapan Nabi Muhammad atas kesalahan minum arak, Nabi pun menyebat dia. Melihat peristiwa itu seorang lelaki berkata, “Ya Allah! Kutuklah dia. Selalu benar dia dibawa ke hadapan Nabi.” Nabi Muhammad berkata, “Jangan kutuk dia, kerana demi Allah, saya tahu dia mencintai Allah dan Rasulnya.”

Daripada peristiwa itu, lelaki peminum arak itu dikenakan hukuman sebat. Pada waktu yang sama Nabi Muhammad tidak membenarkan lelaki itu dikutuk secara terbuka oleh orang lain.


Tiada ulasan: