Sebagai Ketua: Bagaimana Nabi Muhammad Mengubah Tingkah Laku Penagih Arak

Dalam mana-mana organisasi, sentiasa ada pekerja yang bermasalah. Tugas mendorong pekerja supaya mengubah tingkah laku mereka yang buruk dan prestasi kerja mereka yang rendah adalah tanggungjawab ketua.

Pakar-pakar tingkah laku organisasi mengatakan pekerja tidak terdorong mengubah tingkah laku mereka disebabkan mereka mempunyai ketua yang baik peribadinya dan suka menasihati mereka supaya menjadi baik.

Banyak ketua-ketua yang peribadinya baik, tetapi mereka gagal mendorong perubahan tingkah laku pekerjanya kerana cakap dan nasihat ketua-ketua itu tidak diambil serius oleh orang-orang bawahan mereka.

Nabi Muhammad adalah seorang yang sangat baik peribadinya, namun beliau dibenci oleh banyak orang, malah beliau cuba dibunuh dan diperangi.


Di satu sisi lain, Nabi Muhammad dapat mendorong orang-orang yang mempunyai tingkah laku buruk sehingga menjadi orang yang cemerlang disebabkan beliau dikasihi oleh orang-orang itu. Beliau dikasihi bukan kerana beliau seorang yang baik peribadinya. Beliau dikasihi akibat layanan baik yang beliau berikan kepada orang-orang yang buruk tingkah lakunya itu.

Hadith di bawah ini menunjukkan layanan baik yang Nabi Muhammad berikan kepada seorang penagih arak.


Umar bin al-Khattab melaporkan, pada suatu masa ada seorang lelaki yang bernama Abdullah, yang nama jolokannya adalah 'Himar' (keldai), seorang yang personalitinya selalu menyebabkan Nabi Muhammad ketawa. Nabi Muhammad pernah mengenakan hukuman rotan kepada Abdullah atas kesalahan meminum arak. Pada suatu hari, sekali lagi Abdullah dibawa ke hadapan Nabi Muhammad atas kesalahan minum arak. Nabi pun merotan Abdullah. Melihat peristiwa itu, seorang lelaki berkata, “Ya Allah! Kutuklah dia. Selalu benar dia dibawa ke hadapan Nabi.” Nabi Muhammad berkata kepada lelaki itu, “Jangan kutuk dia, kerana demi Allah, saya tahu dia mencintai Allah dan Rasulnya.” -- Hadith No. 2161 dalam kitab Ringkasan Sahih al-Bukhari.

Ketua yang baik agamanya dan baik akhlaknya belum tentu dapat mendorong orang-orang bawahannya supaya menjadi pekerja berprestasi tinggi. Banyak ketua-ketua yang baik agama dan akhlaknya gagal meningkatkan prestasi orang-orang bawahan mereka. Banyak pula ketua-ketua bukan Islam yang berjaya mendorong orang bawahan mereka menjadi pekerja cemerlang.

Ketua yang tidak solat, tidak puasa dan tidak membayar zakat pun boleh menjadi ketua yang dikasihi oleh orang-orang bawahannya yang pernah menerima layanan baik darinya.

Nabi Muhammad memberi layanan sangat baik kepada individu-individu yang beliau dorong supaya mengubah tingkah laku buruk mereka.

Daripada hadith di atas, dapat kita gali prinsip yang ditunjukkan oleh Nabi iaitu tidak cukup bagi seseorang ketua setakat menjadi orang yang baik. Kalau dia mahu mengubah tingkah laku buruk orang bawahannnya, dia perlu melayan orang bawahannya dengan cara yang sangat baik.


Nota: Dalam sesi training, peserta berlatih memilih jenis-jenis layanan strategik apabila mahu mendorong orang bawahan yang bermasalah supaya mengubah tingkah laku mereka.

.

Tiada ulasan: