Sebagai Ketua: Nabi Muhammad Memberi Suaka Sosial kepada Pedosa Besar

Meminum arak adalah kesalahan berat, dan hukumannya di dunia adalah rotan secara terbuka di hadapan orang ramai.

Antara para pengikut Nabi Muhammad, adalah banyak orang-orang yang menghidap penyakit ketagihan arak. Mereka sudah ketagih sebelum mereka masuk Islam. Lagipun arak hanya diharamkan selepas Nabi Muhammad berpindah dari kota Mekah ke bandar Madinah.

Penyakit ketagihan arak adalah penyakit yang sukar dipulihkan dan rawatannya mengambil jangka masa yang panjang. Namun, Nabi Muhammad dapat mendorong penagih-penagih itu mengubah tingkah laku mereka sehingga mereka berjaya menyembuhkan ketagihan mereka sendiri.


Kepada salah seorang penagih arak itu, Nabi Muhammad pernah menjalankan hukuman ke atasnya dan pada waktu yang sama memberikan suaka sosial, di mana beliau tidak mengizinkan sesiapa pun mengutuk penagih arak itu.

Suaka sosial adalah jaminan perlindungan daripada diganggu, dicemuh, dihina, dikutuk oleh orang-orang lain.

Umar bin al-Khattab melaporkan, pada suatu masa ada seorang lelaki bernama Abdullah yang nama jolokannya adalah 'Himar' (keldai), seorang yang selalu menyebabkan Nabi Muhammad ketawa. Nabi Muhammad pernah mengenakan hukuman sebat kepada Abdullah atas kesalahan meminum arak. Pada suatu hari, sekali lagi Abdullah dibawa ke hadapan Nabi Muhammad atas kesalahan minum arak, Nabi pun menyebat dia lagi. Melihat peristiwa itu seorang lelaki berkata, “Ya Allah! Kutuklah dia. Selalu benar dia dibawa ke hadapan Nabi.” Nabi Muhammad berkata, “Jangan kutuk dia, kerana demi Allah, saya tahu dia mencintai Allah dan Rasulnya.” -- Hadith No. 2161 dalam kitab Ringkasan Sahih al-Bukhari.

Dalam hadith di atas, alasan yang digunakan oleh Nabi Muhammad bagi memberikan suaka sosial kepada penagih itu adalah benda yang mata manusia tidak dapat melihatnya, yakni urusan hati manusia. Alasan beliau adalah "....kerana demi Allah, saya tahu dia mencintai Allah dan Rasulnya."


Tiada ulasan: