Proses Kaunseling Nabi Muhammad Lebih Efisien

Semua masalah dapat dikelompokkan ke dalam dua kategori. Pertama masalah fizikal-teknikal, dan kedua masalah moral-spiritual. Contoh masalah fizikal-teknikal adalah enjin kereta rosak, tersalah menulis angka pada cek, nasi yang dimasak hangus dan lain-lain seperti itu. Contoh masalah moral-spiritual adalah seperti mencuri masa kerja, pergaulan bebas lelaki-perempuan dan rasuah. Masalah-masalah teknikal-fizikal mudah diselesaikan, manakala masalah-masalah moral-spiritual lebih sukar ditangani, sebagai contoh memang sukar mengubah tingkah laku pencuri supaya berhenti mencuri ataupun si pendusta supaya berhenti berdusta.

Ilmu psikologi Barat sudah mencipta berpuluh-puluh teori yang cuba menerangkan punca-punca masalah moral-spiritual sekaligus sebagai alat menanganinya tetapi tidak berjaya mengurangkan isu-isu dalam kehidupan moral masyarakat mereka. Teori-teori psikologi Barat semuanya cuba menerangkan mengapa seseorang itu melakukan apa yang dilakukannya. Sebagai contoh mengapa si penagih dadah menagih dadah, mengapa si pendera isteri mendera isterinya, dan mengapa si pejudi berjudi.

Bukti kepakaran adalah pada penyelesaian. Doktor pakar perubatan adalah doktor yang dapat menyelesaikan masalah pesakit dengan memberikan rawatan yang betul.
Metodologi psikologi kaunseling aliran Barat serupa dengan metodologi ilmu perubatan, di mana pakar-pakar akan mengkaji punca-punca sesuatu penyakit sebelum penyakit itu diberikan rawatan. Metodologi yang sama digunakan bagi merawat tingkah laku yang menyimpang daripada normal, yakni masalah moral-spiritual.

Manakala doktor pakar perubatan dapat memberikan rawatan dengan segera kepada pesakit, hal yang sama tidak berlaku dalam bidang rawatan kaunseling. Para kaunselor mengambil masa yang panjang sebelum dapat memberikan rawatan, dan kadar kegagalan rawatan juga sangat tinggi berbanding dengan hasil kerja doktor-doktor perubatan. Antara punca-punca masalah kaunseling lambat diselesaikan adalah disebabkan proses di mana kaunselor terpaksa mencari dan menganalisis faktor-faktor yang menjadi punca dan penyebab masalah itu berlaku. Adalah natural bahawa proses penyiasatan mengambil masa yang panjang.

Salah satu kelebihan kaunseling cara Nabi Muhammad adalah tiadanya proses menyiasat dan menganalisis punca-punca yang menyebabkan sesuatu masalah itu dilakukan. Sebaliknya Nabi Muhammad terus memberikan jalan bagi menyelesaikan masalah itu. Metodologi kaunseling cara Nabi Muhammad itu bertentangan dengan akal biasa kita. Sebagai manusia biasa kita percaya bahawa kita perlu mengetahui dengan tepat mengapa seseorang itu melakukan kesalahan yang dilakukannya. Sebagai contoh, kita ingin mengetahui mengapa si pencuri mencuri. Kita juga percaya hanya dengan mengetahui punca-punca tingkah laku salah itu barulah kita dapat melakukan sesuatu bagi mendorong si pesalah berhenti melakukan kesalahan itu. Akal biasa kita ini diperkuatkan oleh tradisi sains perubahan tingkah laku ciptaan Barat. Dalam tradisi Barat, pakar-pakarnya mengajarkan supaya kita menyiasat dan menganalisis punca-punca yang menyebabkan seseorang itu melakukan kesalahan yang dilakukannya. Selepas punca-punca itu dikenalpasti barulah proses rawatan dilakukan.

Selepas kaunselor menyiasat punca dan penyebab sesuatu masalah, itu tidak bermakna kaunselor dapat menyelesaikan masalah kaunseleenya. Latihan profesional yang diberikan kepada calon-calon kaunselor aliran Barat tidak melatih kaunselor dalam ilmu dan skill mencipta jalan-jalan penyelesaian bagi dikemukakan kepada kaunselee. Malah mereka dilatih dengan disiplin supaya tidak memberikan jalan penyelesaian, sebaliknya hanya membantu kaunselee memikirkan sendiri bagaimana mereka mahu menyelesaikan masalah mereka.

Namun, dalam rekod sejarah terdapat banyak catatan yang menunjukkan apabila Nabi Muhammad menjalankan kerja-kerja kaunseling, beliau tidak mengkaji dan menganalisis punca-punca yang menyebabkan si pesalah melakukan kesalahannya. Beliau terus memberikan jalan penyelesaiannya sahaja, sebagaimana yang berlaku dalam catatan sejarah di bawah ini.

“Saya telah bercumbu-cumbu dengan seorang perempuan dari pinggir kota. Saya sudah buat semuanya, kecuali bersetubuh dengannya. Sekarang saya datang ke hadapan paduka tuan, maka hukumlah saya sebagaimana yang paduka tuan mahu.” Saidina Umar memarahi lelaki itu, katanya, “Allah menutupi kesalahan kamu jikalau kamu menutupi diri kamu sendiri!” Mendengar kata-kata saidina Umar itu, Nabi Muhammad tidak bercakap apa-apa. Kemudian lelaki itu pergi. Nabi Muhammad menyuruh orang memanggil lelaki itu supaya datang semula. Kemudian beliau membacakan kepada lelaki itu ayat ini: “Dan dirikanlah sembahyang itu pada pagi dan petang, dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan dosa daripada perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat.” Kemudian, ada seorang lelaki lain yang ada di situ bertanya, “Wahai Rasul Allah, adakah ayat itu ditujukan khusus untuk dia seorang, ataupun ayat itu ditujukan untuk semua orang?” Nabi Muhammad menjawab, “Untuk semua orang.” - (Hadith ini direkodkan oleh Abu Daud)

Dalam peristiwa di atas Nabi Muhammad tidak menyiasat mengapa pemuda itu melakukan kesalahannya, sebaliknya beliau terus memberikan jalan penyelesaiannya. Beliau tidak bertanya kepada pesalah itu soalan-soalan seperti:

* "Mengapa kamu lakukan dosa itu?"
* "Bagaimana hal itu boleh berlaku?"
* "Apa tujuan kamu melakukan apa yang kamu lakukan itu?"
* "Tidakkah kamu sedar perbuatan itu salah? Habis, kalau kamu sedar, kenapa kamu lakukan juga?"

Hadith di atas menjadi bukti bahawa bagi mendorong perubahan tingkah laku daripada yang buruk kepada yang baik kita tidak perlu mengetahui punca-punca yang mendorong pesalah melakukan kesalahannya. Yang penting adalah kita mengetahui jalan penyelesaiannya, yakni biar kita tidak tahu apa puncanya asalkan kita tahu menyelesaikannya.

Menyiasat mengapa seseorang itu melakukan kesalahannya adalah mudah. Caranya adalah dengan bertanya kepada si pesalah itu sendiri, ataupun bertanya kepada saksi-saksi. Yang sukar adalah memberikan jalan penyelesaian. Namun, si pesalah belum tentu berkata benar semasa menerangkan mengapa dia melakukan kesalahannya. Manakala saksi-saksi belum tentu dapat dicari kerana banyak kesalahan dilakukan secara sembunyi-sembunyi.


3 ulasan:

Fazrul Ismail berkata...

Kalau tidak tahu apa penyelesaian lantaran kerana tidak tahu apa punca, bagaimana mahu diberikan penyelesaian ya Puan?

Puan Ainon Mohd. berkata...

Akal biasa kita percaya apabila kita tahu punca masalah maka automatis kita tahu bagaimana menyelesaikannya.

Namun, ini tidak semestinya berlaku. Banyak masalah yang kita sudah tahu puncanya, tetapi tidak dapat kita selesaikan disebabkan kita tidak tahu apa penyelesaiannya. Ini lebih-lebih lagi dalam kes masalah yang melibatkan sifat-sifat manusia.

Kajian hadith psikologi ini adalah bagi mendapatkan cara-cara Nabi menyelesaikan masalah manusia.

Puan Ainon Mohd. berkata...

Rakan FB saya dengan nama Azlina Ahmad menulis nota di bawah ini:

Saya sudah membuat seperti yang dicadangkan dalam artikel ini:http://hadithpsikologi.blogspot.com/2011/05/nabi-muhammad-memuji-orang-tidak.html Kesnya: Saya memuji pelajar yang lemah dan tidak bersemangat dihadapan pelajar-pelajar lain. Selepas memuji pelajar tersebut, beliau menjadi bersemangat dan mahu ikut serta dalam aktiviti yang dijalanakan di dalam kelas. Nanti saya mahu cuba tips-tips lain dalam blog tersebut. Terima kasih Puan Ainon kerana sudi berkongsi hasil kajian.