Dalam rekod sejarah terdapat catatan yang menunjukkan bagaimana Nabi Muhammad melayan permintaan dan pertanyaan dari orang bodoh-agama. Salah satu catatan itu adalah seperti dalam hadith di bawah:
Pada suatu hari, ada seorang pemuda datang berjumpa dengan Nabi Muhammad. Dia berkata, “Saya telah bercumbu-cumbu dengan seorang perempuan dari pinggir kota. Saya sudah buat semuanya, kecuali bersetubuh dengannya. Sekarang saya datang ke hadapan tuan, maka hukumlah saya sebagaimana yang tuan mahukan.” Saidina Umar memarahi remaja itu, katanya, “Allah menutupi kesalahan kamu jikalau kamu menutupi diri kamu sendiri!” Mendengar kata-kata Saidina Umar itu, Nabi Muhammad tidak bercakap apa-apa. Kemudian pemuda itu pergi dari situ. Nabi Muhammad segera menyuruh orang memanggilnya supaya datang semula. Kemudian beliau membacakan kepada remaja itu ayat ini: “Dan dirikanlah sembahyang itu pada pagi dan petang, dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan dosa daripada perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat.” Kemudian, ada seorang lelaki lain yang ada di situ bertanya, “Wahai Rasul Allah, apakah ayat itu ditujukan khusus untuk dia seorang sahaja, ataupun ayat itu ditujukan untuk semua orang?” Nabi Muhammad menjawab, “Untuk semua orang.” - Hadith ini direkodkan oleh Abu Daud.
Dalam peristiwa di atas pemuda itu telah melakukan dosa bercumbu-cumbu dengan perempuan yang bukan isterinya. Kemudian dia menyesal dan bertaubat. Dia juga mahu membersihkan dosanya.
Pemuda itu menyangka cara membersihkan dosanya adalah dengan pergi berjumpa Nabi Muhammad dan meminta dirinya supaya dihukum. Katanya, “Saya telah bercumbu-cumbu dengan seorang perempuan dari pinggir kota. Saya sudah buat semuanya, kecuali bersetubuh dengannya. Sekarang saya datang ke hadapan tuan, maka hukumlah saya sebagaimana yang tuan mahukan.”
Dari satu sudut, permintaan pemuda itu adalah permintaan 'bodoh', kerana kesalahan bercumbu-cumbu adalah kesalahan yang tiada hukumannya di dunia, manakala hukumannya hanya berlaku di akhirat.
Dalam peristiwa itu Nabi Muhammad menunjukkan teknik yang betul apabila beliau menerima permintaan orang yang 'bodoh' di mana Nabi Muhammad hanya menerangkan jawapan yang betul dengan membacakan ayat dari Quran, “Dan dirikanlah sembahyang itu pada pagi dan petang, dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan dosa daripada perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat.”
Nabi Muhammad tidak mengeluarkan kata-kata lain seperti:
* "Takkan kamu tidak tahu kesalahan kamu itu tidak ada hukumannya di dunia. Kamu akan diseksa di akhirat sahaja."
* "Nampak sangat kamu ini jahil agama."
* "Hukuman yang kamu minta itu tidak ada! Kamu tidak tahu undang-undangkah?"
Tiada ulasan:
Catat Ulasan