Sebagai Komunikator: Nabi Bersangka Baik Terhadap Kata-Kata Orang yang Melakukan Dosa Berat

Nabi Muhammad adalah seorang komunikator yang efektif. Apabila beliau bercakap, kata-kata yang diucapkannya meninggalkan kesan mendalam kepada orang yang mendengar cakapnya, sama ada mereka itu orang baik-baik mahupun orang kurang baik akhlaknya.

Dalam amalan lazim, sukar bagi orang baik-baik sekalipun mahu meletakkan sangka baik terhadap kata-kata yang diucapkan oleh individu yang melakukan dosa-dosa berat.

Dalam catatan sejarah ada peristiwa di mana seorang lelaki yang pernah melakukan kesalahan berat datang berjumpa Nabi Muhammad.

Pada suatu hari, ada seorang lelaki datang berjumpa dengan Nabi Muhammad.
Dia berkata, “Saya telah bercumbu-cumbu dengan seorang perempuan dari pinggir kota. Saya sudah buat semuanya, kecuali bersetubuh dengannya. Sekarang saya datang ke hadapan paduka tuan, maka hukumlah saya sebagaimana yang paduka tuan mahu.” Saidina Umar memarahi lelaki itu, katanya, “Allah menutupi kesalahan kamu jikalau kamu menutupi diri kamu sendiri!” Mendengar kata-kata saidina Umar itu, Nabi Muhammad tidak bercakap apa-apa. Kemudian lelaki itu pergi. Nabi Muhammad segera menyuruh orang memanggil lelaki itu supaya datang semula. Kemudian beliau membacakan kepada lelaki itu ayat ini: “Dan dirikanlah sembahyang itu pada pagi dan petang, dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan dosa daripada perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat.” Kemudian, ada seorang lelaki lain yang ada di situ bertanya, “Wahai Rasul Allah, apakah ayat itu ditujukan khusus untuk dia seorang sahaja, ataupun ayat itu ditujukan untuk semua orang?” Nabi Muhammad menjawab, “Untuk semua orang.” - Hadith ini direkodkan oleh Abu Daud.

Dalam peristiwa di atas, lelaki itu melakukan kesalahan yang berat, iaitu bercumbu-cumbu dengan perempuan yang bukan isterinya.

Semasa Nabi Muhammad bercakap kepada lelaki itu beliau tidak mengucapkan kata-kata yang membayangkan beliau meragui kejujuran pelaku dosa berat itu.

Contoh kata-kata yang mencerminkan keraguan terhadap kejujuran orang adalah:

* "Betulkah apa yang kamu cakap itu?"
* "Awak jangan main-main dengan saya."
* "Apa buktinya awak cakap betul?"
* "Bolehkah saya percaya dengan kamu?"
* "Awak ini cakap main-mainkah?"
* "Ini perkara serius, cakap betul-betul!"
* "Tunjukkan dulu kepada saya buktinya kamu jujur."
* "Macam mana saya hendak percaya pada awak?"
* "Betulkah kamu sudah insaf?"
* "Payah saya mahu percaya cakap orang macam awak."
* "Biar betul awak ini."
* "Kalau awak berbohong sekalipun, saya bukan tahu."


Tiada ulasan: