Strategi Nabi Muhammad Mendorong Perubahan Sikap dan Tingkah Laku

Prinsip 'tiada paksaan dalam agama' dapat dilihat menjadi asas strategi kerja Nabi Muhammad apabila mendorong individu-individu yang pernah bersalah supaya berhenti daripada melakukan kesalahan mereka itu. Ini terbukti daripada hadith-hadith yang mengandungi catatan peristiwa bagaimana Nabi Muhammad melayan dan bercakap kepada mereka yang bersalah. Dalam hadith-hadith itu Nabi Muhammad tidak menekan-nekan apatah lagi memaksa-maksa orang yang bersalah supaya berhenti buat dosa.

Berdasarkan data-data hadith yang dikaji, dapat dirumuskan strategi yang digunakan oleh Nabi Muhammad apabila beliau memberi dorongan kepada individu-individu yang melakukan pelbagai kesalahan supaya mereka sendiri secara sukarela mahu mengubah sikap dan tingkah laku daripada negatif menjadi positif. Dalam hadith-hadith itu, Nabi Muhammad tidak bercakap sesuatu yang menyebabkan orang yang telah melakukan perbuatan berdosa berasa dirinya insan yang kecil, bodoh, jahil, kotor dan serba hina dibandingkan dengan orang yang baik-baik.

Hadith di bawah ini menunjukkan bagaimana Nabi Muhammad menyantuni orang yang bersalah:

Pada suatu hari, ada seorang lelaki datang berjumpa dengan Nabi Muhammad.
Dia berkata, “Saya telah bercumbu-cumbu dengan seorang perempuan dari pinggir kota. Saya sudah buat semuanya, kecuali bersetubuh dengannya. Sekarang saya datang ke hadapan paduka tuan, maka hukumlah saya sebagaimana yang paduka tuan mahu.” Saidina Umar memarahi lelaki itu, katanya, “Allah menutupi kesalahan kamu jikalau kamu menutupi diri kamu sendiri!” Mendengar kata-kata Saidina Umar itu, Nabi Muhammad tidak bercakap apa-apa. Kemudian lelaki itu pergi. Nabi Muhammad segera menyuruh orang memanggil lelaki itu supaya datang semula. Kemudian beliau membacakan kepada lelaki itu ayat ini: “Dan dirikanlah sembahyang itu pada pagi dan petang, dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan dosa daripada perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat.” Kemudian, ada seorang lelaki lain yang ada di situ bertanya, “Wahai Rasul Allah, apakah ayat itu ditujukan khusus untuk dia seorang sahaja, ataupun ayat itu ditujukan untuk semua orang?” Nabi Muhammad menjawab, “Untuk semua orang.” - Hadith ini direkodkan oleh Abu Daud

Dalam peristiwa di atas, Nabi Muhammad tidak membuat sebarang komen (i) ke atas diri si pesalah, (ii) ke atas perbuatan si pesalah.

Nabi Muhammad sama sekali tidak bercakap perkara-perkara yang dapat menyebabkan tekanan ke atas emosi si pesalah. Beliau hanya membaca sepotong ayat dari Quran yang relevan kepada situasi pesalah itu.

Dalam peristiwa itu, perkara-perkara yang tidak diucapkan oleh Nabi Muhammad adalah:

1. Nabi Muhammad tidak bertanya kepada si pesalah soalan-soalan yang meminta supaya si pesalah menerangkan punca-punca mengapa sampai dia melakukan dosa yang dilakukannya dengan
berkata, "Kamu sudah tahu perkara itu berdosa, tetapi mengapakah kamu lakukan perkara itu? Cuba ceritakan sedikit..."

2. Nabi tidak mengkritik ataupun menegur diri si pesalah atas kesalahan yang dilakukannya dengan berkata, "Bukankah kamu anak orang baik-baik, lagipun kamu pernah mengaji agama, tetapi kamu buat dosa itu juga!"

3. Nabi tidak menyuruh-nyuruh si pesalah supaya mengubah sikapnya, "Sikap kamu itu tidak betul. Kamu hanya merugikan diri kamu sendiri. Kalau kamu mahu selamat dunia akhirat kamu mesti ubah sikap kamu itu."

4. Nabi tidak menasihati si pesalah supaya jangan mengulangi dosanya, dengan berkata, "Sebaiknya kamu lupakan yang lalu, buka buku baru, jangan ulangi lagi dosa-dosa itu."

5. Tidak mengajar-ajar si pesalah cara-cara yang betul bagi menjauhkan diri daripada melakukan dosa, dengan berkata, "Jangan lagi berkawan dengan tukang besi, berkawanlah dengan penjual minyak wangi."

6. Nabi tidak bercakap sesuatu yang memalukan si pesalah dan menjatuhkan maruahnya, dengan berkata, "Ingatlah, Allah sentiasa melihat apa yang kamu lakukan, walaupun di dalam gelap."

8. Nabi tidak menyuruh si pesalah supaya meniru orang-orang lain yang baik-baik dengan berkata, "Tirulah macam Saidina Ali dan Ibnu Umar, walaupun dia muda macam kamu, usia mudanya tidak digunakan bagi melakukan perkara-perkara maksiat."

9. Nabi tidak menakut-nakutkan si pesalah tentang seksaan Tuhan jika dia tidak insaf dan tidak bertaubat, "Jangan ingat kamu boleh lari daripada hukuman Allah atas dosa-dosa kamu itu. Setiap apa yang kamu lakukan semuanya dicatatkan dan nanti di akhirat catatan itu akan ditunjukkan kepada kamu."

10. Nabi tidak membodoh-bodohkan si pesalah dengan memberitahu hukum-hakam tentang dosa yang dilakukannya dengan berkata, "Kamu tahu apa hukumnya? Tahu tak, Allah tidak terima sembahyang kamu?"

11. Nabi tidak menyalahkan si pesalah kerana dia lemah iman dan tidak takut kepada Allah sampai sanggup melakukan dosa dengan berkata, "Kamu berani buat dosa-dosa itu sebab iman kamu lemah, kamu tidak ambil berat dosa dan pahala, akibat iman kamu yang lemah itu maka kamu tidak takut mati."

12. Nabi tidak menasihati si pesalah dengan nasihat-nasihat supaya menjadi orang beriman, dengan berkata, "Kamu mesti kuatkan iman kamu, jangan tinggalkan solat lima waktu, rajin-rajin bangun malam dan buat solat-solat sunat, insyaAllah kamu selamat."

13. Nabi tidak membacakan doa supaya Allah mengampunkan dosa si pesalah dengan berkata, "Moga-moga Allah terima taubat kamu. Amin...."

14. Nabi tidak memberitahu si pesalah bahawa beliau bersyukur sebab si pesalah sekarang sudah insaf dengan berkata, "Syukurlah kamu sekarang sudah insaf dan sudah bertaubat."

15. Nabi tidak mengucapkan tahniah kepada si pesalah dengan berkata, "Tahniah, kamu sudah berhijrah!"


1 ulasan:

Unknown berkata...

Askum, kaedah pemerintahan Nabi ini amat baik dijadikan panduan dlm pentadbiran agar kita sebagai ketua dlm apa jua keadaan dpt diterima dgn baik dn dihormati selalu kerana sebelum org menghormati kita, kita sendiri mesti menghormmati org lain walaupun dirinya dlm keadaan bersalah. Terima kasih puan.