Kaedah Kaunseling Nabi Muhammad Bertentangan dengan Kaunseling Barat

Nabi Muhammad adalah seorang kaunselor. Cara-cara bagaimana beliau memberi kaunseling kepada orang yang melakukan kesalahan adalah sangat bertentangan dengan prosedur kaunseling yang dicipta oleh pakar-pakar psikologi Barat. Pertama, Nabi Muhammad tidak menyiasat latar belakang masalah yang dialami oleh kaunselee. Kedua, Nabi Muhammad memberikan jalan keluar kepada masalah kaunselee.

Dalam kaunseling Barat, tugas kaunselor adalah memahami apa masalah kaunselee dengan cara menyiasat latar belakang masalah itu. Kedua tugas kaunselor hanyalah membantu kaunselee berfikir sendiri bagaimana dia mahu keluar daripada masalahnya.

Jadi, kaunselor aliran Barat hanya menolong kanselee berfikir dengan lebih jelas tentang apa sebenarnya masalahnya dan apa sebaiknya yang dia perlu lakukan. Kaunselor tidak dibenarkan berfikir bagi pihak kaunseleenya, yakni kaunselor tidak boleh memberitahu apa yang kaunseleenya patut lakukan.

Amalan dalam kaunseling Barat di mana kaunselor tidak boleh memberikan jalan keluar kepada kaunselee adalah berdasarkan andaian bahawa:

a. Salah satu andaian utama dalam metod kaunseling Barat adalah bahawa seseorang itu lebih tahu apa masalah dirinya dan apa yang baik bagi dirinya. Perkara ini tidak semestinya betul. Bukan semua orang mempunyai keupayaan menganalisis masalahnya dengan jelas dan tepat.

b. Dalam kaunseling Barat, mereka percaya orang lain tidak mungkin dapat betul-betul memahami masalah yang dialami oleh orang lain. Perkara ini pun tidak semestinya betul.

c.
Kata kunci bagi menyelesaikan sendiri masalahnya adalah dengan memahami dan mengetahui masalahnya sendiri. Selagi seseorang itu tidak faham apa sebenarnya masalahnya dia tidak akan dapat mencari jalan keluar daripada masalahnya itu. Ini adalah pegangan kaunseling cara Barat. Namun, selepas seseorang itu faham apa masalahnya, belum tentu dia dapat mencari jalan keluar yang paling baik baginya.

d. Dalam kaunseling Barat, mereka berpegang kepada andaian bahawa idea penyelesaian yang difikirkan sendiri dan dipilih sendiri oleh kaunselee adalah yang paling baik. Andaian ini tidak semestinya betul.

Dalam rekod sejarah, ada catatan yang menunjukkan bagaimana sebagai seorang kaunselor Nabi Muhammad memberikan jalan keluar kepada kaunseleenya:

Pada suatu hari, ada seorang lelaki datang berjumpa dengan Nabi Muhammad. Dia berkata, “Saya telah bercumbu-cumbu dengan seorang perempuan dari pinggir kota. Saya sudah buat semuanya, kecuali bersetubuh dengannya. Sekarang saya datang ke hadapan paduka tuan, maka hukumlah saya sebagaimana yang paduka tuan mahu.” Saidina Umar memarahi lelaki itu, katanya, “Allah menutupi kesalahan kamu jikalau kamu menutupi diri kamu sendiri!” Mendengar kata-kata saidina Umar itu, Nabi Muhammad tidak bercakap apa-apa. Kemudian lelaki itu pergi. Nabi Muhammad segera menyuruh orang memanggil lelaki itu supaya datang semula. Kemudian beliau membacakan kepada lelaki itu ayat ini: “Dan dirikanlah sembahyang itu pada pagi dan petang, dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan dosa daripada perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat.” Kemudian, ada seorang lelaki lain yang ada di situ bertanya, “Wahai Rasul Allah, apakah ayat itu ditujukan khusus untuk dia seorang sahaja, ataupun ayat itu ditujukan untuk semua orang?” Nabi Muhammad menjawab, “Untuk semua orang.” - Hadith ini dipetik dari koleksi hadith-hadith autentik yang direkodkan oleh Abu Daud.


Tiada ulasan: