Petaubat adalah orang yang telah melakukan kesalahan dan kemudian bertaubat. Hadith di bawah ini menunjukkan bagaimana Nabi Muhammad menyantuni seorang pemuda yang bertaubat:
Pada suatu hari, ada seorang pemuda datang berjumpa dengan Nabi Muhammad. Dia berkata, “Saya telah bercumbu-cumbu dengan seorang perempuan dari pinggir kota. Saya sudah buat semuanya, kecuali bersetubuh dengannya. Sekarang saya datang ke hadapan paduka tuan, maka hukumlah saya sebagaimana yang paduka tuan mahu.” Saidina Umar memarahi lelaki itu, katanya, “Allah menutupi kesalahan kamu jikalau kamu menutupi diri kamu sendiri!” Mendengar kata-kata Saidina Umar itu, Nabi Muhammad tidak bercakap apa-apa. Kemudian lelaki itu pergi. Nabi Muhammad segera menyuruh orang memanggil lelaki itu supaya datang semula. Kemudian beliau membacakan kepada lelaki itu ayat ini: “Dan dirikanlah sembahyang itu pada pagi dan petang, dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan dosa daripada perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat.” Kemudian, ada seorang lelaki lain yang ada di situ bertanya, “Wahai Rasul Allah, apakah ayat itu ditujukan khusus untuk dia seorang sahaja, ataupun ayat itu ditujukan untuk semua orang?” Nabi Muhammad menjawab, “Untuk semua orang.” - Hadith ini direkodkan oleh Abu Daud.
Dalam hadith di atas pemuda yang bertaubat itu datang minta dirinya dihukum supaya dirinya bersih daripada dosa. Nabi Muhammad menerangkan cara yang betul membersihkan dosanya itu adalah dengan membacakan ayat Quran. Tetapi beliau tidak menerangkan dengan panjang lebar maksud ayat Quran yang dibacakannya kepada pemuda itu, khususnya apa maksud 3 perkara yang disebutkan dalam ayat itu, yakni:
a. Maksud 'sembahyang pada pagi dan petang'
b. Maksud 'sembahyang pada bahagian permulaan daripada malam'
c. Maksud 'perbuatan-perbuatan baik"
Dalam peristiwa itu, selepas mendengar ayat Quran itu dibacakan kepadanya, si pemuda itu tidak bertanya maksud ayat Quran itu, maka Nabi Muhammad tidak menerangkan apa-apa kepadanya.
Pada waktu yang sama ada seorang lelaki lain bertanya, “Wahai Rasul Allah, apakah ayat itu ditujukan khusus untuk dia seorang sahaja, ataupun ayat itu ditujukan untuk semua orang?” barulah Nabi Muhammad menjawab, “Untuk semua orang.”
Dalam peristiwa itu Nabi Muhammad memberi maklumat apabila ada permintaan.
Dalam amalan lazim, kita cenderung menganggap orang yang banyak ilmu agamanya tidak akan melakukan kesalahan. Manakala kita anggap mereka yang melakukan maksiat adalah orang-orang yang jahil, yang cetek ilmu agamanya. Dengan anggapan begitu, kita cenderung mengajar-ajarkan kepada pesalah pengetahuan agama yang kita sangka dia tidak tahu. Hal begini boleh menyebabkan orang yang kita ajar-ajar itu berasa dirinya telah kita layan sebagai orang jahil dan bodoh.
.
1 ulasan:
Assalamu'alaikum wbt,
Saya ada persoalan. Apakah darjat hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dawud dalam perbahasan di atas?
Catat Ulasan