Hadith di bawah ini menunjukkan bagaimana Nabi Muhammad menyantuni orang yang pengetahuannya tentang agama amat rendah:
Pada suatu hari, ada seorang lelaki datang berjumpa dengan Nabi Muhammad. Dia berkata, “Saya telah bercumbu-cumbu dengan seorang perempuan dari pinggir kota. Saya sudah buat semuanya, kecuali bersetubuh dengannya. Sekarang saya datang ke hadapan paduka tuan, maka hukumlah saya sebagaimana yang paduka tuan mahu.” Saidina Umar memarahi lelaki itu, katanya, “Allah menutupi kesalahan kamu jikalau kamu menutupi diri kamu sendiri!” Mendengar kata-kata Saidina Umar itu, Nabi Muhammad tidak bercakap apa-apa. Kemudian lelaki itu pergi. Nabi Muhammad segera menyuruh orang memanggil lelaki itu supaya datang semula. Kemudian beliau membacakan kepada lelaki itu ayat ini: “Dan dirikanlah sembahyang itu pada pagi dan petang, dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan dosa daripada perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat.” Kemudian, ada seorang lelaki lain yang ada di situ bertanya, “Wahai Rasul Allah, apakah ayat itu ditujukan khusus untuk dia seorang sahaja, ataupun ayat itu ditujukan untuk semua orang?” Nabi Muhammad menjawab, “Untuk semua orang.” - Hadith ini direkodkan oleh Abu Daud
Dalam peristiwa di atas, Nabi Muhammad telah membacakan sepotong ayat Quran:
“Dan dirikanlah sembahyang itu pada pagi dan petang, dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan dosa daripada perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat.”
Ada seorang lelaki bertanya, “Wahai Rasul Allah, apakah ayat itu ditujukan khusus untuk dia seorang sahaja, ataupun ayat itu ditujukan untuk semua orang?” (Nota: Inilah soalan 'bodoh' itu, sebab tidak mungkin ayat Quran ditujukan kepada seseorang sahaja.)
Nabi Muhammad menjawab dengan berkata, "Untuk semua orang."
Dalam peristiwa di atas, Nabi Muhammad semata-mata memberi jawapan yang diperlukan oleh si bodoh itu. Beliau tidak melakukan perkara-perkara berikut:
1. Tidak memberitahu kepada si bodoh perihal kebodohannya itu dengan mengucapkan kata-kata komentar tambahan seperti:
"Takkanlah kamu tidak tahu semua ayat Quran adalah untuk semua orang."
"Kenapa tanya begitu, takkan itu pun kamu tak tahu!"
"Quran memang untuk semua orang."
"Kamu ini nama sahaja sudah lama masuk Islam, tapi itu pun kamu tak tahu."
2. Tidak memberi penerangan tentang sifat-sifat ayat Quran.
.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan