Nabi Muhammad seorang ketua yang dikasihi oleh orang-orang yang berdosa. Banyak pedosa datang berjumpa Nabi Muhammad dalam keadaan mereka sudah insaf dan sudah memperbaiki diri dan akhlak mereka, seperti dalam catatan sejarah di bawah ini:
Pada suatu hari, ada seorang pemuda datang berjumpa dengan Nabi Muhammad. Dia berkata, “Saya telah bercumbu-cumbu dengan seorang perempuan dari pinggir kota. Saya sudah buat semuanya, kecuali bersetubuh dengannya. Sekarang saya datang ke hadapan tuan, maka hukumlah saya sebagaimana yang tuan mahu.” Saidina Umar memarahi lelaki itu, katanya, “Allah menutupi kesalahan kamu jikalau kamu menutupi diri kamu sendiri!” Mendengar kata-kata Saidina Umar itu, Nabi Muhammad tidak bercakap apa-apa. Kemudian lelaki itu pergi. Nabi Muhammad segera menyuruh orang memanggil lelaki itu supaya datang semula. Kemudian beliau membacakan kepada lelaki itu ayat ini: “Dan dirikanlah sembahyang itu pada pagi dan petang, dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan dosa daripada perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat.” Kemudian, ada seorang lelaki lain yang ada di situ bertanya, “Wahai Rasul Allah, apakah ayat itu ditujukan khusus untuk dia seorang sahaja, ataupun ayat itu ditujukan untuk semua orang?” Nabi Muhammad menjawab, “Untuk semua orang.” - Hadith ini direkodkan oleh Abu Daud
Dalam peristiwa di atas lelaki itu datang berjumpa Nabi Muhammad dalam keadaan dia sudah insaf, sudah bertaubat, dan dia mahu menghapuskan dosa-dosanya.
Dalam hadith di atas, antara ibrah yang dapat digali adalah:
1. Nabi tidak bersyukur dengan berkata kepada si petaubat, "Syukur alhamudilllah kamu sekarang sudah insaf dan sudah bertaubat."
2. Nabi tidak mengucapkan tahniah kepada si petaubat dengan berkata, "Tahniah, tahniah, kamu sudah berhijrah!"
3. Nabi Muhammad tidak mendoakan si petaubat itu dengan berkata, "Semoga Allah menerima taubat kamu. Semoga kamu menjadi orang yang terus berada di jalan yang benar."
4. Nabi tidak memuji-muji si petaubat dengan berkata, "Wajah kamu sekarang kelihatan lebih manis dan jernih selepas bertaubat."
5. Nabi tidak memberitahu beliau gembira melihat perubahan si petaubat dengan berkata, "Saya tumpang gembira melihat kamu sudah berubah."
6. Nabi tidak mengucapkan kata-kata motivasi kepada si petaubat dengan berkata, "Semoga kamu istiqamah. Jangan peduli apa cakap orang. Yang penting kamu patuh suruhan Allah."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan