Perbezaaan Nabi Muhammad dan Umar al-Khatab Mendengar Pesalah Mengaku Salah

Hadith di bawah ini menunjukkan bagaimana Nabi Muhammad menyantuni orang yang bersalah:

Pada suatu hari, ada seorang lelaki datang berjumpa dengan Nabi Muhammad.
Dia berkata, “Saya telah bercumbu-cumbu dengan seorang perempuan dari pinggir kota. Saya sudah buat semuanya, kecuali bersetubuh dengannya. Sekarang saya datang ke hadapan paduka tuan, maka hukumlah saya sebagaimana yang paduka tuan mahu.” Saidina Umar memarahi lelaki itu, katanya, “Allah menutupi kesalahan kamu jikalau kamu menutupi diri kamu sendiri!” Mendengar kata-kata Saidina Umar itu, Nabi Muhammad tidak bercakap apa-apa. Kemudian lelaki itu pergi. Nabi Muhammad segera menyuruh orang memanggil lelaki itu supaya datang semula. Kemudian beliau membacakan kepada lelaki itu ayat ini: “Dan dirikanlah sembahyang itu pada pagi dan petang, dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan dosa daripada perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat.” Kemudian, ada seorang lelaki lain yang ada di situ bertanya, “Wahai Rasul Allah, apakah ayat itu ditujukan khusus untuk dia seorang sahaja, ataupun ayat itu ditujukan untuk semua orang?” Nabi Muhammad menjawab, “Untuk semua orang.” - Hadith ini direkodkan oleh Abu Daud

Dalam peristiwa di atas, Umar membuat komen ke atas perbuatan si pesalah itu di mana beliau memarahinya dengan berkata “Allah menutupi kesalahan kamu jikalau kamu menutupi diri kamu sendiri!” Akibatnya pesalah itu serta-merta pergi meninggalkan Umar di tempat tersebut.

Apa yang dilakukan oleh Umar al-Khattab itu serupa dengan apa yang lazimnya kita lakukan, yakni kita menegur orang yang melakukan kesalahan. Terbukti teguran menyebabkan orang yang ditegur itu menjauhkan diri daripada orang yang menegur.

Isi kata-kata teguran oleh Umar itu adalah betul. Memang kita tidak dibenarkan mendedahkan aib kita sendiri. Namun kata-kata yang betul, apabila diucapkan dengan teknik yang salah hanya menyebabkan kata-kata itu ditolak.

Dalam peristiwa itu Nabi Muhammad tidak membuat sebarang komen mahupun teguran ke atas (i) ke atas diri si pesalah, (ii) ke atas perbuatan si pesalah.


Nabi Muhammad tidak memarahi si pesalah. Malah menasihati pesalah itu pun tidak. Beliau hanya memberitahu cara-cara bagaimana si pesalah itu dapat menghapuskan dosanya. Ini dilakukan dengan membacakan ayat dari al-Quran.

.

Tiada ulasan: