Sebagai Kaunselor: Nabi Muhammad Tidak Menyiasat Faktor-Faktor yang Mendorong Pesalah Melakukan Kesalahannya
Kita selalu mendapat gambaran bahawa Nabi Muhammad berjaya menjadi ketua yang baik disebabkan anak-anak buahnya terdiri daripada individu-individu yang baik-baik belaka. Gambaran seperti itu adalah tidak benar.
Sebagai seorang ketua kumpulan, Nabi Muhammad mengamalkan dasar terbuka apabila menerima orang menjadi anggota kumpulannya. Dengan dasar terbuka itu sesiapa sahaja, tanpa mengambil kira latar belakang akhlak mereka, semuanya diterima masuk ke dalam kumpulan yang diketuainya.
Hasil dasar keanggotaan terbuka itu, Nabi Muhammad menerima masuk segala macam individu menjadi anggota kumpulan beliau, termasuk mereka yang melakukan pelbagai kesalahan moral yang berat-berat, seperti menjadi penagih arak, pemabuk, pemukul isteri, melakukan seks luar nikah dan macam-macam lagi. Beliau tidak meletakkan syarat yang menghendaki orang-orang itu supaya berhenti dahulu daripada berbuat salah barulah mereka boleh masuk kumpulannya. Sebaliknya, selepas mereka masuk menjadi anggota kumpulannya barulah Nabi Muhammad menjalankan kerja-kerja mentransformasi mereka sehingga mereka berhenti daripada berbuat salah.
Disamping menjadi seorang ketua, Nabi Muhammad juga seorang kaunselor. Beliau banyak melakukan kaunseling kepada anak-anak buahnya yang datang kepada beliau dan mengaku telah melakukan kesalahan. Dalam semua kes itu, Nabi Muhammad tidak bertanya kepada si pesalah dengan tujuan mahu menyiasat sebab musabab kesalahan itu dilakukan.
Dari masa ke masa akan sentiasa ada orang bawahan yang melakukan kesalahan. Dalam amalan sekarang, pegawai yang bertanggungjawab mengambil tindakan disiplin ke atas staf yang melanggar peraturan mula-mula sekali dia akan bertanya kepada pesalah mengapa dia melakukan kesalahan itu. Ini adalah prosedur yang standard digunapakai. Prosedur ini adalah ciri penting dalam ilmu psikologi Barat.
Dalam psikologi Barat, segala tingkah laku tidak normal ditangani dengan menyiasat terlebih dahulu punca-punca yang menyebabkan kesalahan itu dilakukan. Sebagai contoh, apabila seseorang itu kerap mencuri maka akan disiasat apa punca-punca yang menyebabkan dia mencuri. Begitu juga apabila seseorang itu kerap berbohong maka akan disiasat faktor-faktor yang mendorong dia kerap berbohong.
Ahli-ahli psikologi Barat percaya apabila punca-punca itu dapat dikenalpasti barulah rawatan yang betul dapat diberikan. Rawatan itu pula adalah dengan membuang punca-punca itu. Sebagai contoh, jika punca pencuri itu mencuri adalah disebabkan dia tidak mampu membeli sendiri barang-barang yang dicurinya itu, maka perlulah dicarikan jalan bagi meningkatkan kemampuannya. Jika punca orang itu berdusta adalah disebabkan dia tidak tahu bahawa berdusta itu perbuatan berdosa maka perlulah dia diberi pendidikan agama supaya dia tahu akan hal itu.
Di sebalik amalan menyiasat punca-punca kesalahan dilakukan adalah andaian:
a. Bahawa kita dapat mengenalpasti dengan tepat punca-punca kesalahan itu dilakukan.
b. Bahawa si pesalah bercakap benar semasa memberikan jawapan kepada soalan kita.
c. Bahawa hanya selepas sudah diketahui punca-punca kesalahan barulah kita dapat memberikan penyelesaian.
Nabi Muhammad menunjukkan prosedur yang bertentangan dengan prosedur Barat. Apabila ada orang datang berjumpa Nabi Muhammad dan mengaku bahawa dia telah melakukan kesalahan, Nabi Muhammad tidak menyiasat faktor-faktor yang mendorong orang itu melakukan apa yang dilakukannya. Sebagai contoh, apabila seorang lelaki datang berjumpa Nabi Muhammad dan mengaku dia telah melakukan seks pada siang hari dalam bulan puasa, Nabi tidak menyiasat apa yang mendorong lelaki itu melakukan kesalahan tersebut.
Dalam rekod sejarah terdapat catatan peristiwa di mana seorang lelaki datang berjumpa dengan Nabi Muhammad dan mengaku dia telah melakukan kesalahan.
Pada suatu hari, ada seorang lelaki datang berjumpa dengan Nabi Muhammad. Dia berkata, “Saya telah bercumbu-cumbu dengan seorang perempuan dari pinggir kota. Saya sudah buat semuanya, kecuali bersetubuh dengannya. Sekarang saya datang ke hadapan paduka tuan, maka hukumlah saya sebagaimana yang paduka tuan mahu.” Saidina Umar memarahi lelaki itu, katanya, “Allah menutupi kesalahan kamu jikalau kamu menutupi diri kamu sendiri!” Mendengar kata-kata saidina Umar itu, Nabi Muhammad tidak bercakap apa-apa. Kemudian lelaki itu pergi. Nabi Muhammad segera menyuruh orang memanggil lelaki itu supaya datang semula. Kemudian beliau membacakan kepada lelaki itu ayat ini: “Dan dirikanlah sembahyang itu pada pagi dan petang, dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan dosa daripada perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat.” Kemudian, ada seorang lelaki lain yang ada di situ bertanya, “Wahai Rasul Allah, apakah ayat itu ditujukan khusus untuk dia seorang sahaja, ataupun ayat itu ditujukan untuk semua orang?” Nabi Muhammad menjawab, “Untuk semua orang.” -- Hadith ini direkodkan oleh Abu Daud
Dalam peristiwa di atas, Nabi Muhammad tidak menyiasat apa faktor yang mendorong lelaki itu melakukan kesalahannya. Beliau tidak bertanya, “Mengapa?” kepada si pesalah. Ini menunjukkan dalam teknik kaunseling yang digunakan oleh Nabi Muhammad kaunselor tidak perlu mengetahui sama sekali faktor-faktor yang telah mendorong si pesalah itu melakukan kesalahannya sebelum dia dapat mengemukakan jalan penyelesaian bagi membantu si pesalah membetulkan kesalahannya. Ini berbeza sekali dengan amalan biasa di kalangan teknik kaunseling aliran Barat, di mana kita sentiasa menyiasat latar belakang kesalahan.
Perbezaan antara cara Nabi dan cara Barat adalah sangat kritikal dalam isu ini. Cara Barat mewajibkan kita menyiasat mengapa seseorang itu melakukan kesalahan yang dilakukannya. Ambil sebagai contoh dalam prosedur kaunseling individu yang melakukan kesalahan. Apabila sesi kaunseling bermula, pertama-tama kaunselor akan mendorong kaunselee supaya menceritakan sebab-musabab dia melakukan kesalahannya.
Salah satu faktor mengapa pesalah tidak mahu tampil ke hadapan dan mengakui kesalahannya adalah disebabkan risiko dia dipaksa mendedahkan aibnya kepada pegawai penyiasat, dan menghadapi risiko aibnya itu akan tersebar. Contoh soalan-soalan yang menekan pesalah supaya menceritakan apa yang menjadi punca dia melakukan kesalahannya:
“Apa sebab kamu mencuri?”
“Mengapa kamu mencuri?”
“Siapa suruh kamu mencuri?”
“Apa yang berlaku sampai kamu mencuri?”
“Cuba ceritakan mengapa sampai jadi begitu?”
“Apa sebenarnya yang telah berlaku?”
“Kenapa awak buat?”
“Cerita betul-betul apa yang terjadi.”
Sepanjang proses siasatan, adalah natural apabila si pesalah mendedahkan aibnya sendiri, dan aib orang-orang lain yang ada kaitannya dengan dirinya dan dengan kesalahan yang dilakukannya.
Dalam undang-undang Islam, seseorang itu tidak dibenarkan menceritakan perkara-perkara yang memalukan diri kita sendiri kepada orang lain, malah kepada sesiapa sahaja. Hukum menceritakan aib kepada orang lain adalah haram dan berdosa. Jadi, apabila Nabi Muhammad tidak bertanya kepada lelaki itu mengapa dia melakukan seks siang hari dengan isterinya pada bulan puasa, bermakna lelaki itu tidak dikehendaki supaya melakukan dosa menceritakan aibnya kepada Nabi Muhammad.
Dalam undang-undang Islam juga, seseorang itu juga tidak boleh mendengar orang lain menceritakan perkara-perkara yang memalukan diri mereka sendiri. Jika mendengarnya, dia berdosa. Jadi apabila Nabi Muhammad tidak bertanya mengapa kepada lelaki itu, dengan sendirinya Nabi Muhammad pun tidak mendengar lelaki itu menceritakan aibnya.
Nota: Dalam sesi training peserta akan berlatih menangangi kes staf yang melakukan kesalahan dengan tanpa perlu menyiasat latar belakang kesalahan itu dilakukan, sebaliknya terus memikirkan jalan penyelesaian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan