Sebagai Kaunselor: Nabi Muhammad Memotivasi dengan Tidak Menasihati

Ketua-ketua, guru-guru, kaunselor dan ibu bapa lazimnya menyamakan perbuatan 'memotivasi' dengan perbuatan 'menasihati'. Lazimnya kita percaya motivasi takkan dapat dipisahkan daripada perbuatan menasihati orang yang cuba dimotivasi. Malah kita yakin motivasi mustahil dapat dilakukan tanpa menasihati.

Nasihat adalah kata-kata yang menyuruh-nyuruh seseorang itu supaya melakukan perkara yang disebut dalam nasihat itu.

Nasihat menjadi alat utama apabila kita memberi motivasi. Apabila nasihat gagal mencapai matlamatnya, barulah kita menggunakan alat-alat lain yang lebih keras seperti ugutan dan hukuman. Apabila nasihat tidak diterima, kita cenderung menuduh orang yang dinasihati itu dengan tuduhan dia degil dan lain-lain tuduhan.

Nabi Muhammad tidak menggunakan nasihat apabila memberikan kata-kata motivasi kepada orang yang melakukan kesalahan dan dosa. Apa yang dilakukan oleh Nabi Muhammad adalah memberi informasi, bukan kata-kata nasihat.

Pada suatu hari, ada seorang lelaki datang berjumpa dengan Nabi Muhammad.
Dia berkata, “Saya telah bercumbu-cumbu dengan seorang perempuan dari pinggir kota. Saya sudah buat semuanya, kecuali bersetubuh dengannya. Sekarang saya datang ke hadapan paduka tuan, maka hukumlah saya sebagaimana yang paduka tuan mahu.” Saidina Umar memarahi lelaki itu, katanya, “Allah menutupi kesalahan kamu jikalau kamu menutupi diri kamu sendiri!” Mendengar kata-kata saidina Umar itu, Nabi Muhammad tidak bercakap apa-apa. Kemudian lelaki itu pergi. Kemudian Nabi Muhammad menyuruh orang supaya memanggil lelaki itu datang semula. Kemudian beliau membacakan kepada lelaki itu ayat ini: “Dan dirikanlah sembahyang itu pada pagi dan petang, dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan dosa daripada perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat.” Kemudian, ada seorang lelaki lain yang kebetulan berada di situ bertanya, “Wahai Rasul Allah, adakah ayat itu ditujukan khusus untuk dia seorang, ataupun ayat itu ditujukan untuk semua orang?” Nabi Muhammad menjawab, “Untuk semua orang.” - Hadith ini direkodkan oleh Abu Daud.

Dalam peristiwa di atas, Nabi Muhammad memberikan kepada pemuda yang telah melakukan dosa-dosa besar itu cara mudah menghilangkan dosanya, iaitu dengan bersembahyang dan melakukan perkara-perkara yang baik.

Nabi Muhammad tidak menasihati pemuda itu supaya insaf, menyesal dan bertaubat. Beliau tidak mengucapkan kata-kata nasihat seperti:

* "Kamu perlu bertaubat, sebelum terlambat."

* "Tahukah kamu bahawa apa yang kamu lakukan itu dosa berat, dan hukumannya sangat berat di akhirat nanti."

* "Sebaiknya kamu bertaubat dengan taubat nasuha, dan jangan sekali-kali kamu ulangi lagi perbutan terkutuk itu."

* "Ketahuilah, wahai orang muda, bahawa Allah melihat apa yang kamu lakukan."


Tiada ulasan: