Perkataan lain bagi istilah 'teguran' adalah 'kritikan'. Banyak orang amat yakin dengan memberikan kritikan, kita dapat membantu orang yang dikritik itu memperbaiki dirinya. Maka minda kita selalu mencari-cari perkara-perkara yang dapat dikritik, dengan niat dan harapan perkara itu akan diperbaiki.
Aktiviti mengemukakan kritikan berfokus pada perkara-perkara di bawah:
a. Mencari apa yang belum betul.
b. Mencari apa yang belum sempurna.
c. Mecari apa yang salah.
d. Mencari apa yang lemah.
e. Mencari apa yang tertinggal.
f. Mencari apa yang cacat.
g. Mencari apa yang terlupa.
h. Mencari apa yang berbeza.
Dalam hadith di bawah ini, Allah menunjukkan mengapa kritikan, meskipun dengan niat baik, adalah tidak efektif:
Pada suatu hari, ada seorang lelaki datang berjumpa dengan Nabi Muhammad. Dia berkata, “Saya telah bercumbu-cumbu dengan seorang perempuan dari pinggir kota. Saya sudah buat semuanya, kecuali bersetubuh dengannya. Sekarang saya datang ke hadapan paduka tuan, maka hukumlah saya sebagaimana yang paduka tuan mahu.” Saidina Umar memarahi lelaki itu, katanya, “Allah menutupi kesalahan kamu jikalau kamu menutupi diri kamu sendiri!” Mendengar kata-kata saidina Umar itu, Nabi Muhammad tidak bercakap apa-apa. Kemudian lelaki itu pergi. Nabi Muhammad segera menyuruh orang memanggil lelaki itu supaya datang semula. Kemudian beliau membacakan kepada lelaki itu ayat ini: “Dan dirikanlah sembahyang itu pada pagi dan petang, dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan dosa daripada perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat.” Kemudian, ada seorang lelaki lain yang ada di situ bertanya, “Wahai Rasul Allah, apakah ayat itu ditujukan khusus untuk dia seorang sahaja, ataupun ayat itu ditujukan untuk semua orang?” Nabi Muhammad menjawab, “Untuk semua orang.” -- (Hadith ini direkodkan oleh Abu Daud)
Dalam hadith di atas, Saidina Umar al-Khattab mengkritik tingkah laku si pemuda itu yang telah mendedahkan aibnya sendiri. Dalam lain perkataan, Umar mengatakan kepada pemuda itu bahawa dia telah melakukan suatu kesalahan, iaitu mendedahkan aibnya, sedangkan dari segi syarak perbuatan begitu hukumnya tidak boleh. Itulah kritikan Umar. Dalam bahasa modern hari ini, kritikan Umar itu adalah contoh 'kritikan membina' kerana dengan kritikan itu sepatutnya si pemuda faham di mana dia telah melakukan kesilapan.
Saidina Umar mengkritik perbuatan pemuda itu dengan mengemukakan hujah dari al-Quran. Hujah yang dikemukakan oleh Saidina Umar itu adalah hujah yang betul dan hujah yang sangat kuat kerana tidak ada hujah yang lebih kuat daripada al-Quran. Itulah sebabnya Nabi Muhammad diam sahaja.
Bahawa pemuda itu melakukan kesilapan, itu pun betul. Namun, hasil kritikan Saidina Umar itu menyebabkan si pemuda terus angkat kaki dan pergi dari situ.
Maka kita dapat tafsirkan kritikan Saidina Umar itu tidak berkesan. Bahawa pemuda itu angkat kaki menunjukkan kritikan Umar itu tidak memenuhi keperluannya, walaupun Umar telah menggunakan hujah dari al-Quran.
Kemudian, Nabi Muhammad menyuruh supaya pemuda itu dipanggil balik. Kali ini Nabi Muhammad membacakan kepada pemuda itu sepotong ayat dari al-Quran. Nabi Muhammad tidak mengkritik langsung kesilapan pemuda itu. Beliau hanya memberitahu bagaimana dia dapat menyelesaikan masalahnya dengan menggunakan cara-cara yang diterangkan dalam ayat al-Quran itu.
Ada perbezaan antara feedback yang diberikan oleh Saidina Umar dan Nabi Muhammad. Saidina Umar menggunakan hujah dari al-Quran bagi mengkritik kesilapan pemuda itu. Nabi Muhammad pula, beliau menggunakan al-Quran bagi membantu pemuda itu menyelesaikan masalahnya.
Kesimpulannya:
(1) Tidak mengkritik orang yang silap. Ini lebih-lebih lagi tidak mengkritik orang itu di hadapan orang lain. Nanti orang yang kita kritik itu angkat kaki dan meninggalkan kita.
(2) Tidak menggunakan al-Quran bagi tujuan mengkritik orang. Ini berlaku apabila kita memang mempunyai tujuan mahu mengkritik orang itu, kemudian baru kita mencari ayat dalam Quran yang dapat dijadikan sebagai hujah.
(3) Apabila kita nampak kesilapan, kita berikan sahaja jalan keluarnya, yakni kita gunakan al-Quran bagi memberikan penyelesaian kepada kesilapan itu.
Dalam hadith ini kita dapat lihat 2 cara menggunakan al-Quran apabila kita melihat kesalahan:
(i) Quran sebagai sumber hujah bagi mengkritik orang yang melakukan kesalahan itu. Di sini Quran digunakan secara pasif-reaktif.
(ii) Quran sebagai sumber mencarikan jalan menyelesaikan masalah akibat kesalahan yang telah dilakukan oleh orang itu. Di sini Quran digunakan secara aktif-kreatif.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan