Sebagai Ketua: Nabi Muhammad Tidak Mengkritik VIP yang Melakukan Kesilapan Teknikal

Nabi Muhammad adalah seorang ketua. Dalam kumpulan yang beliau ketuai ada orang-orang yang sangat tinggi statusnya, khususnya mereka yang dijanjikan pasti masuk syurga. Ada pula 4 orang yang bakal menjadi presiden negara Islam selepas Nabi Muhammad meninggal dunia. Ada pahlawan-pahlawan yang terkenal gagah berani dalam peperangan. Mereka itu semua adalah VVIP (very, very important person) dalam sejarah Islam.

Sering kali apabila Nabi Muhammad duduk di dalam masjid maka banyak ahli kumpulan beliau ikut duduk bersama-sama sebab mereka mahu mendengar ilmu-ilmu baru yang beliau sampaikan. Beliau seorang ketua yang tidak mendeskriminasi antara golongan VVIP, VIP dan orang-orang biasa. Mereka semua duduk bersama-sama.

Apabila ada mana-mana VVIP yang melakukan kesilapan teknikal, Nabi Muhammad tidak menegur, mengkritik, ataupun membetulkan kesilapan VVIP itu.

Dalam rekod sejarah, ada catatan peristiwa bagaimana seorang VVIP melakukan kesilapan teknikal di hadapan banyak orang. Nabi Muhammad diam sahaja, tidak membetulkan kesilapan VVIP itu.

Pada suatu hari, ada seorang lelaki datang berjumpa dengan Nabi Muhammad.
Dia berkata, “Saya telah bercumbu-cumbu dengan seorang perempuan dari pinggir kota. Saya sudah buat semuanya, kecuali bersetubuh dengannya. Sekarang saya datang ke hadapan paduka tuan, maka hukumlah saya sebagaimana yang paduka tuan mahu.” Saidina Umar memarahi lelaki itu, katanya, “Allah menutupi kesalahan kamu jikalau kamu menutupi diri kamu sendiri!” Mendengar kata-kata Saidina Umar itu, Nabi Muhammad tidak bercakap apa-apa. Kemudian lelaki itu pergi. Nabi Muhammad segera menyuruh orang memanggil lelaki itu supaya datang semula. Kemudian beliau membacakan kepada lelaki itu ayat ini: “Dan dirikanlah sembahyang itu pada pagi dan petang, dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan dosa daripada perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat.” Kemudian, ada seorang lelaki lain yang ada di situ bertanya, “Wahai Rasul Allah, apakah ayat itu ditujukan khusus untuk dia seorang sahaja, ataupun ayat itu ditujukan untuk semua orang?” Nabi Muhammad menjawab, “Untuk semua orang.” - (Hadith ini direkodkan oleh Abu Daud)

Dalam peristiwa di atas, seorang VVIP, iaitu Saidina Umar, melakukan kesilapan. Apa yang belia katakan itu betul, tetapi tekniknya salah. Nabi Muhammad tidak berkata kepada Saidina Umar:

* "Umar, jangan cakap macam itu kepada dia. Jangan marahi dia."
* "Memang betul dia tidak boleh membuka aibnya, Umar. Tetapi dia datang ke mari bukan minta kamu marahi!"
* "Bukan, bukan macam itu cara bercakap kepada orang yang sudah mengaku salah!"
* "Cara kaunseling kamu itu salah. Bukan macam itu."
* "Kenapa kamu cakap macam itu? Sekarang kamu pun sama, kamu pula membuat dia berasa aib di depan semua orang."



Tiada ulasan: