Sebagai Kaunselor: Nabi Muhammad Tidak Berceramah bagi Tujuan Mengubah Sikap dan Tingkah Laku

Industri 'speaking' adalah industri yang besar dan semakin hari semakin besar. Termasuk dalam industri speaking adalah seminar, ceramah, kuliah dan tazkirah. Banyak sekolah, pejabat dan syarikat mengundang speaker bagi menyampaikan ceramah dan tazkirah apabila mahu mendorong pelajar ataupun staf supaya mengubah sikap dan tingkah laku yang negatif kepada yang lebih positif.

Dalam industri speaking ini banyak 'speaker' berjaya menikmati gaya hidup yang mewah dan menjadi sangat terkenal sama seperti selebriti bidang hiburan dengan jumlah fan yang puluhan ribu, malah ratusan ribu banyaknya.

Jumlah hadirin yang datang mendengar ceramah bukan ukuran sejauh mana sesuatu ceramah itu berkesan bagi tujuan mengubah tingkah laku yang negatif menjadi positif, yakni bukan ukuran semakin banyak jumlah hadirin maka semakin berkesan ceramah itu. Ini kerana mereka yang datang memang sudah sedia mempunyai sikap dan tingkah laku positif. Dengan mendengar ceramah itu sikap mereka bertambah positif.

Objektif ceramah adalah memberikan 'awareness' atau kesedaran kepada hadirin, yakni supaya hadirin menyedari perkara-perkara yang diterangkan dalam ceramah itu. Justeru ceramah sangat efektif bagi menyampaikan informasi baru yang sebelumnya tidak diketahui oleh hadirin.

Kesedaran adalah fasa pertama dalam proses perubahan sikap dan tingkah laku. Namun kesedaran boleh ditimbulkan oleh pelbagai faktor bukan dengan mendengar ceramah sahaja, sebagai contoh pengalaman ditimpa malang boleh menimbulkan kesedaran, sebagaimana berkenalan dengan orang yang baik juga boleh menimbulkan kesedaran.

Bagaimana awareness itu nanti mahu diterjemahkan menjadi tindakan yang menghasilkan perubahan pada sikap dan tingkah laku, hal itu adalah di luar bidang tugas penceramah kerana selepas ceramah itu tamat sang penceramah turun pentas dan pulang.

Nabi Muhammad mengubah sikap dan tingkah laku negatif kepada positif dengan menggunakan banyak strategi dan teknik, tetapi bukan dengan teknik berceramah. Beliau memberikan kaunseling kepada individu yang memerlukan bantuan, seperti dalam hadith di bawah ini:

Pada suatu hari, ada seorang lelaki datang berjumpa dengan Nabi Muhammad. Dia berkata, “Saya telah bercumbu-cumbu dengan seorang perempuan dari pinggir kota. Saya sudah buat semuanya, kecuali bersetubuh dengannya. Sekarang saya datang ke hadapan paduka tuan, maka hukumlah saya sebagaimana yang paduka tuan mahu.” Saidina Umar memarahi lelaki itu, katanya, “Allah menutupi kesalahan kamu jikalau kamu menutupi diri kamu sendiri!” Mendengar kata-kata saidina Umar itu, Nabi Muhammad tidak bercakap apa-apa. Kemudian lelaki itu pergi. Nabi Muhammad segera menyuruh orang memanggil lelaki itu supaya datang semula. Kemudian beliau membacakan kepada lelaki itu ayat ini: “Dan dirikanlah sembahyang itu pada pagi dan petang, dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan dosa daripada perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat.” Kemudian, ada seorang lelaki lain yang ada di situ bertanya, “Wahai Rasul Allah, apakah ayat itu ditujukan khusus untuk dia seorang sahaja, ataupun ayat itu ditujukan untuk semua orang?” Nabi Muhammad menjawab, “Untuk semua orang.” -- (Hadith ini direkodkan oleh Abu Daud)

Nota: Ceramah, kuliah, tazkirah dan seminar adalah media berkesan bagi menyampaikan ilmu dan informasi.


Tiada ulasan: