Dalam mengkaji rekod-rekod sejarah yang di dalamnya terkandung teknik-teknik bagaimana Nabi Muhammad mendorong perubahan tingkah laku, salah satu aspek yang menarik dianalisis adalah perkataan-perkataan yang beliau gunakan ataupun tidak gunakan.
Sebagai contoh, kajian dapat dilakukan tentang kes di mana Nabi Muhammad tidak menggunakan perkataan 'Allah' seperti dalam dua catatan di bawah ini:
Kes 1: Anas bin Malek melaporkan, pada suatu masa dia dan orang-orang lelaki lain sedang berada di dalam masjid bersama-sama Nabi Muhammad. Tiba-tiba masuklah seorang lelaki Arab dari kampung ke dalam masjid, lalu lelaki itu berdiri dan membuang air kecil. Melihat kejadian itu, sahabat-sahabat Nabi yang ada di situ terus mengherdik lelaki tersebut. Sebaliknya, Nabi Muhammad berkata, “Jangan buat dia terhenti kencingnya. Biarkan sahaja.” Lalu semua yang ada membiarkan sahaja orang kampung itu menghabiskan kencingnya. Selepas itu Nabi Muhammad memanggil lelaki itu dan berkata kepadanya, “Sesungguhnya, di dalam masjid ini tidak boleh kencing ataupun membuang sedikit pun kotoran, sebaliknya hanya boleh berzikir mengingati Allah Azza wajalla, bersembahyang, dan membaca Quran.” Kemudian, Nabi Muhammad menyuruh salah seorang yang ada pergi mengambil air setimba, lalu disirami kecing itu. - Hadith No. 186 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim
Dalam peristiwa di atas, semasa memberitahu kepada si pesalah perkara-perkara yang dilarang dilakukan di dalam masjid Nabi Muhammad tidak menyebut nama Allah sebagai sumber yang mengeluarkan undang-undang tidak boleh kencing di dalam masjid.
Nabi Muhammad hanya berkata, " “Sesungguhnya, di dalam masjid ini tidak boleh kencing ataupun membuang sedikit pun kotoran...."
Dalam peristiwa di bawah ini pula, pesalah tidak tahu bahawa arak adalah haram. Semasa menerangkan perkara itu kepada pesalah Nabi Muhammad juga tidak menyebut nama Allah sebagai sumber undang-undang yang mengharamkan arak. Beliau hanya menyebut 'Dia' bagi menggantikan 'Allah'.
Kes 2: Ibnu Abbas melaporkan, pada suatu hari ada seorang lelaki datang dan menghadiahkan kepada Nabi Muhammad sebekas arak. Nabi Muhammad bertanya kepada lelaki itu, “Adakah saudara tahu bahawa Allah sudah mengharamkannya?” Lelaki itu menjawab, “Tidak.” Kemudian lelaki itu berbisik-bisik dengan orang yang di tepinya. Nabi Muhammad bertanya kepada lelaki itu, “Apakah yang saudara bisikkan kepadanya?” Lelaki itu menjawab, “Saya suruh dia menjualkannya sahaja.” Kemudian Nabi Muhammad berkata, "Sesungguhnya Dia yang mengharamkan meminumnya, Dia mengharamkan menjualnya." Kemudian lelaki itu membuka penutup bekas araknya, lalu dituangkan isinya sampai habis sama sekali. -- Hadith No. 930 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim
Dalam kes ke-2 di atas, dua orang pesalah itu tidak tahu bahawa arak sudah diharamkan.
Dalam kedua-dua peristiwa itu, mereka yang bersalah itu adalah orang-orang yang tidak mengetahui bahawa apa yang mereka lakukan itu adalah salah dalam undang-undang agama, yakni orang yang 'jahil' dalam perkara di mana mereka telah bersalah.
Kepada orang yang mahu memberi arak, Nabi Muhammad berkata, "Sesungguhnya Dia yang mengharamkan meminumnya, Dia mengharamkan menjualnya."
Dalam amalan lazim, apabila ada orang melakukan kesalahan, baik orang itu jahil ataupun tidak, kita akan memberirahu bahawa apa yang telah mereka langgar itu adalah hukum Allah. Namun dalam 2 hadith di atas, hal sedemkian tidak dilakukan oleh Nabi Muhammad.
1 ulasan:
Dalam Al_Quran (26:23), Apabila Firaun bertanya Nabi Musa siapakah Tuhan semesta alam itu, Nabi Musa TIDAK menjawap, "Tuhan itu adalah Allah". Sebaliknya Nabi MUsa menjawap dengan menyebut sifat-sifat Allah tanpa menyebut nama Allah.
Catat Ulasan