Nabi Muhammad Memuji Makmum yang Datang Lambat

Salah satu tugas yang dijalankan oleh Nabi Muhammad adalah menjadi ketua kumpulan orang-orang yang bersembahyang di dalam masjid. Jawatan itu dipanggil 'imam' manakala orang-orang yang bersembahyang dipanggil 'makmum'.

Apabila Nabi Muhammad bersembahyang beliau sangat fokus, yakni beliau sangat khusyuk. Seluruh fikirannya tertumpu kepada Allah yang disembah.

Dalam rekod sejarah ada catatan yang menunjukkan bagaimana telinga Nabi Muhammad yang sangat khusyuk apabila sedang bersembahyang itu telah terdengar ada orang bercakap-cakap, dan beliau dapat mendengar setiap patah perkataan orang itu. Ini bermakna orang itu bercakap cukup kuat sehingga Nabi Muhammad yang khusyuk pun terganggu.


Salah seorang sahabat Nabi Muhammad bernama Anas. Beliau
melaporkan, pada suatu hari ada seorang lelaki datang dan dia terus masuk barisan orang-orang yang sedang sembahyang, dengan nafasnya termengah-mengah kerana terkocoh-kocoh mengejar waktu sembahyang, sambil dia membaca dengan kuat 'Alhamdulillahi hamdan kasiran thoyiban mubarakan fih.' (Segala puji bagi Allah, pujian yang banyak, bagus, lagi penuh berkat.)
Selepas selesai sembahyang, Nabi Muhammad bertanya, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata itu?” Semua orang yang ada diam sahaja, tidak seorang pun menjawab. Nabi Muhammad bertanya lagi, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata itu? Sebenarnya dia tidak mengucapkan sesuatu yang berdosa.” Lalu seorang lelaki berkata, “Tadi saya datang dengan termengah-mengah, lalu saya ucapkan kata-kata itu.” Kemudian, Nabi Muhammad berkata, “Sungguh, saya nampak 12 orang malaikat berebut-rebut mengangkat kata-kata itu.”
-- Hadith No. 271 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim

Dalam peristiwa itu, lelaki tersebut datang lambat, yakni orang sudah memulakan sembahyang tetapi dia baru sampai. Dia juga masuk ke dalam masjid sambil bercakap kuat sehingga Nabi Muhammad terganggu. Nabi Muhammad tidak menegur ataupun mengkritik kesalahan lelaki itu. Malah Nabi Muhammad tidak menasihati lelaki itu supaya jangan datang lambat dan jangan buat bising sehingga mengganggu orang-orang yang sedang bersembahyang. Sebaliknya, Nabi Muhammad memujinya pula.

Daripada peristiwa itu dapat disimpulkan bahawa salah satu tugas imam sembahyang adalah:

1. Jangan mengkritik, menegur ataupun meleteri makmum apabila mereka melakukan kesalahan.

2. Memuji mana-mana makmum yang melakukan kebaikan.

Kesimpulan yang dapat ditarik daripada catatan di atas adalah, bahawa masjid adalah tempat memuji-muji orang yang datang. Masjid bukan tempat memarahi sama ada mereka yang ada di dalam masjid mahupun yang tidak datang ke masjid.



Tiada ulasan: