Apabila Nabi Muhammad mendorong orang yang mempunyai tingkah laku negatif supaya mengubah sikapnya, beliau bercakap dengan menggunakan ayat-ayat yang mempunyai ciri-ciri berikut:
1. Ayat-ayat yang diucapkan oleh Nabi Muhammad hanya menerangkan: (a) tingkah laku yang baik dan (b) tingkah laku yang buruk.
2. Beliau tidak mengkritik diri dan peribadi orang yang didorong itu.
Dalam rekod sejarah, terdapat banyak catatan yang menunjukkan bagaimana Nabi Muhammad bercakap kepada orang yang didorong supaya mengubah tingkah laku negatifnya.
Di bawah ini contoh yang menunjukkan di sebalik kata-kata Nabi Muhammad yang panjang itu adalah prinsip yang memisahkan antara (i) diri pelaku, dan (ii) tingkah laku.
Seorang sabahat Nabi Muhammad yang bernama Hakim bin Hizam melaporkan, katanya, "Saya pernah meminta sesuatu daripada Nabi Muhammad, lalu beliau memberikannya. Kemudian saya meminta lagi, beliau memberi lagi. Saya meminta lagi, lalu beliau memberinya lagi. Kemudian beliau berkata, "Wahai Hakim, sesungguhnya harta ini manis dan indah, sesiapa yang mengambilnya dengan berlapang dada, tentu berkat untuknya. Sesiapa yang mengambilnya dengan tamak dan rakus, tidak akan berkat untuknya. Ia umpama orang yang makan tetapi tidak terasa kenyang. Tangan di atas lebih baik dari tangan di bawah." Hakim berkata, "Wahai Rasul Allah, demi Allah yang mengutuskan tuan dengan benar, saya tidak akan meminta dari sesiapa pun selepas ini hingga saya mati." Kesan mendengar kata-kata Nabi Muhammad itu, pada zaman Khalifah Abu bakar, beliau memanggil Hakim kerana mahu menyerahkan bahagiannya daripada Baitul Mal, namun Hakim menolaknya. Sewaktu zaman Khalifah Umar al-Khattab, beliau juga memanggil Hakim bagi memberikan bahagian daripada Baitul Mal, Hakim juga menolak. Lalu Khalifah Umar al-Khattab berkata, "Wahai kaum muslimin, saya bersumpah di hadapan kalian bahawa saya telah memberikan kepada Hakim bahagiannya daripada harta baitulmal, tetapi beliau menolak." Hakim tetap tidak mahu menerima pemberian dari sesiapa pun selepas Nabi Muhammad meninggal sehingga Hakim sendiri meninggal dunia. - Hadith ini ada dalam rekod Sahih al-Bukhari & Muslim
1. Menyebut nama orang yang didorong sebelum memberi kata-kata dorongannya, "Wahai Hakim..."
2. Nabi Muhammad tidak menyebut perkataan 'kamu' meskipun kata-katanya itu ditujukan kepada 'Hakim' seorang sahaja.
3. Fokus pertama dalam ayat Nabi Muhammad adalah kepada 'harta' bukan kepada 'kamu': "....sesungguhnya harta ini manis dan indah...."
4. Fokus kedua dalam ayat Nabi Muhammad adalah kepada 'sesiapa' bukan kepada 'kamu': "....sesiapa yang mengambilnya dengan berlapang dada, tentu berkat untuknya. Sesiapa yang mengambilnya dengan tamak dan rakus, tidak akan berkat untuknya...."
5. Fokus ketiga dalam ayat Nabi Muhammad adalah kepada 'ia' bukan kepada 'kamu': "....Ia umpama orang yang makan tetapi tidak terasa kenyang...."
6. Fokus keempat dalam ayat Nabi Muhammad adalah kepada 'tangan' bukan kepada 'kamu': "....Tangan di atas lebih baik dari tangan di bawah."
Dalam peristiwa di atas, kata-kata Nabi Muhammad itu panjang, namun tidak sekali pun beliau menggunakan perkataan 'kamu'.
Beliau tidak berkata kepada Hakim: "Wahai Hakim, sesungguhnya harta ini manis dan indah, jika kamu mengambilnya dengan berlapang dada, tentu berkat untuk kamu. Jika kamu mengambilnya dengan tamak dan rakus, tidak akan berkat untuk kamu. Perbuatan kamu umpama orang yang makan tetapi tidak berasa kenyang. Tangan di atas lebih baik dari tangan di bawah."
Di sebalik kata-kata Nabi Muhammad yang panjang itu adalah prinsip yang memisahkan antara (i) diri pelaku, dan (ii) tingkah laku. Beliau tidak mengkritik peribadi Hakim. Beliau hanya menerangkan tingkah laku yang baik dan tingkah laku yang buruk.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan