Nabi Tidak Menuduh Orang yang Sengaja Melanggar Undang-Undang

Dalam catatan di bawah, Nabi Muhammad menunjukkan cara beliau menyantuni orang yang lemah iman.

Pada suatu hari ada seorang lelaki datang berjumpa Nabi Muhammad. Lelaki itu berkata, "Malang sungguh nasibku, wahai Rasul Allah." Nabi Muhammad bertanya, "Apa yang menyebabkan saudara ditimpa malang?" Lelaki itu menjawab, "Dalam bulan Ramadhan, siang tadi, saya telah melakukan seks dengan isteri saya." Nabi Muhammad bertanya, "Mampukah saudara membebaskan seorang hamba?" Lelaki itu menjawab, "Tidak." Nabi Muhammad bertanya lagi, "Sanggupkah saudara berpuasa 2 bulan berturut-turut hari?" Lelaki itu menjawab, "Tidak." Nabi Muhammad bertanya lagi, "Mampukah saudara memberi makan 60 orang miskin?" Lelaki itu menjawab, "Tidak." Lelaki yang tadinya berdiri, kemudian dia duduk. Pada saat itu ada pula orang memberi sebakul buah kurma kepada Nabi Muhammad. Kemudian Nabi Muhammad berkata kepada lelaki itu, "Bersedekahlah dengan menggunakan kurma ini." Lelaki itu berkata, "Adakah mana-mana orang lain yang lebih miskin daripada kami? Di sekitar ini, tidak ada sesiapa yang lebih memerlukan daripada kami." Mendengar kata-kata lelaki itu, Nabi Muhammad tersenyum lebar sehingga gigi taringnya dapat dilihat. Akhirnya beliau berkata kepada lelaki itu, "Saudara baliklah. Berilah keluarga saudara makan dengan kurma ini." - Hadith No. 589 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim

Dalam peristiwa di atas, lelaki itu mengetahui undang-undang di mana pada waktu siang bulan puasa seseorang itu tidak boleh melakukan hubungan seks dengan pasangannya.

Besar kemungkinan lelaki dalam peristiwa itu adalah seorang yang masih muda usianya. Namun dia seorang yang tahu undang-undang bulan puasa, dan dia melanggar undang-undang itu. Kemudian dia menyesal. Dari situ dapat kita simpulkan bahawa lelaki itu adalah seorang yang baik, kerana selepas melanggar undang-undang dia menyesal, lalu dia pergi berjumpa Nabi Muhammad bagi mendapatkan pengetahuan apa yang perlu dilakukannya.

Dalam amalan lazim, kita selalu mengeluarkan pelbagai komen kepada orang yang tahu undang-undang tetapi sengaja melanggarnya semata-mata disebabkan dia lemah iman, apatah lagi dalam kes di mana orang itu kalah kepada nafsu seksualnya.

Pada peristiwa di atas Nabi Muhammad menunjukkan bahawa kita tidak dibenarkan mengutuk orang yang melakukan kesalahan, sebaliknya kita perlu menerangkan sahaja bagaimana kesalahan itu dapat ditebus.

Antara komen-komen yang lazim dikeluarkan adalah komen yang mengutuk orang itu, dan komen yang mempersalahkan dirinya. Namun Nabi Muhammad tidak berkata kepada lelaki itu:

* "Kamu sudah tahu, kenapa kamu buat juga?"

* "Lemah sungguh iman kamu!"

* "Apa mahu jadi dengan kamu? Baru tengok isteri sendiri sudah tak tahan. Kalau tengok bintang filem macam mana?"

* "Kamu ini teruk betul, takkan kamu tak sabar tunggu sampai selepas berbuka puasa dahulu."



Tiada ulasan: